KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima aduan awam berkenaan penjualan secara dalam talian, produk penyedut hidung atau turut dikenali sebagai 'Energy Stick' yang disyaki tidak berdaftar.
Hasil siasatan awal mendapati, keluaran tersebut merupakan bukan keluaran berdaftar dan perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan ke atas penjual yang dikesan menjual produk tersebut. Hasil saringan awal di platform e-dagang (e-marketplace) seperti Shopee dan Lazada, pihak KKM turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara. Kementerian Kesihatan, melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk tersebut diturunkan.
Penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut. Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang https://
www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1-800-88-6722. Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut.
KKM turut komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan. Orang ramai turut digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak berdaftar kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM melalui laman sesawang
https://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat
https://moh.spab.gov.my ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03- 78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran.
DATUK DR MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN8 FEBRUARI 2024
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde KhuzainiPegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA