KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil maklum dan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina binti Nik Abdul Rashid dan Satu Lagi Lawan Kerajaan Negeri Kelantan dengan majoriti 8-1 pada 9 Februari 2024.
Fakta dalam isu kes ini adalah berkaitan kuasa Badan Perundangan Negeri Kelantan untuk menggubal atau membuat beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Dalam 20 peruntukan yang dicabar yang kemudiannya menjadi 18, hanya 16 peruntukan yang diisytiharkan sebagai batal dan tidak sah iaitu seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 37(1)(b), 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen tersebut.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat telah menegaskan bahawa isu dalam kes ini bukanlah tentang kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia, tetapi berkenaan sama ada Badan Perundangan Negeri Kelantan membuat peruntukan-peruntukan tersebut mengikut batasan yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.
Hukuman Sivil dan Syariah di Malaysia adalah berbentuk takzir yang mana hukuman bagi kesalahan diadakan oleh pemerintah justeru, tidak wujud cabaran terhadap undang-undang Islam di Mahkamah Syariah.
IKIM menyeru supaya semua pihak mendapatkan fakta yang benar dan tepat mengenai kes Nik Elin.
Oleh yang demikian, IKIM akan menggerakkan beberapa inisiatif dan gerak kerja susulan kes Nik Elin ini, antaranya mengadakan Persidangan Meja Bulat atau Muzakarah Pakar, menyampaikan maklumat perundangan yang betul melalui program radio dan penulisan serta hebahan media melalui berita dan media sosial.
Untuk pengetahuan, sebuah Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam telah ditubuhkan pada Disember 2023 yang berperanan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil.
IKIM juga berbesar hati untuk terlibat sebagai anggota dalam sebarang jawatankuasa yang berkaitan dan memberi input kepada Jawatankuasa Khas sedia ada.
Sekian, terima kasih.
PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
11 Februari 2024
Dikeluarkan oleh:
Unit Perhubungan Korporat IKIM.
SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:Nama: Nor Zuliana Mohd Zaman
Tel: +60 19-562 2221
E-mel: zuliana@ikim.gov.my
--BERNAMA