REBUT PELUANG PROGRAM KHAS PENGAKUAN SUKARELA (PKPS) 2.0 SEBELUM 31 MEI 2024

Selasa 13/02/2024

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Lembaga HASiL Dalam Negeri Malaysia (HASiL) ingin menyeru pembayar cukai untuk merebut peluang memperbaiki status pematuhan cukai melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 yang akan berakhir dalam tempoh tidak sampai empat (4) bulan sahaja lagi iaitu pada 31 Mei 2024. Sehingga 31 Januari 2024, HASiL telah menerima sebanyak 64,748 kes pengakuan sukarela daripada pembayar cukai baharu dan sedia ada.
 
PKPS 2.0 yang bermula pada 6 Jun 2023, merupakan inisiatif HASiL untuk memberi peluang kepada pembayar cukai untuk tampil secara sukarela melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur selaras dengan ketetapan HASiL. Untuk makluman, HASiL memberi jaminan bahawa segala pelaporan yang diterima di bawah PKPS 2.0 akan diterima secara suci hati dengan sifar penalti. Tindakan audit serta siasatan tidak akan dilakukan pada masa akan datang bagi tahun-tahun taksiran yang terlibat dengan PKPS 2.0.
 
PKPS 2.0 ini dibuka kepada semua kategori pembayar cukai kecuali bagi kategori fail majikan melibatkan pelaporan pendapatan yang tidak pernah dilaporkan atau kurang dilaporkan, perbelanjaan atau tuntutan lain yang terlebih tuntut atau tidak dibenarkan, pelepasan atau potongan atau rebat terlebih tuntut dan elaun modal atau insentif yang terlebih tuntut.
 
PKPS 2.0 ini juga boleh disertai oleh mereka yang ingin melaporkan pelupusan aset dan ingin membuat penyeteman dokumen atau perjanjian yang tidak disetem dalam tempoh yang dibenarkan.

Selepas tempoh ini, HASiL akan melaksanakan aktiviti pematuhan cukai mengikut Rangka Kerja Audit Cukai yang berkuat kuasa.
 
Untuk sebarang pertanyaan serta maklum balas berkenaan PKPS 2.0, sila hubungi kami menerusi:
a) Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di Portal Rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/ 
 
Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia | Jabatan Khidmat Korporat
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

 
Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Perhubungan Awam dan Multimedia | Jabatan Khidmat Korporat
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Hasil Contact Centre: 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my 

--BERNAMA
+