KELAYAKAN UNTUK PEGAWAI PERUBATAN YANG BERTUGAS LEBIH MASA UNTUK DIBAYAR ELAUN LOKUM DI KLINIK KESIHATAN BANDAR BOTANIK, KLINIK KESIHATAN TAMAN EHSAN DAN KLINIK KESIHATAN AMPANG

Khamis 22/02/2024

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan prihatin untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik di klinik kesihatan. Bagi penyampaian perkhidmatan di klinik kesihatan, waktu operasi adalah mengikut waktu bekerja pejabat. Manakala bagi beberapa klinik yang terpilih untuk melaksanakan perkhidmatan secara extended hours (EH), waktu operasi dilanjutkan selepas waktu bekerja pejabat hingga 9.30 malam serta pada hari Sabtu mulai 9.00 pagi hingga 1.00 petang. 
 
Mengambil kira isu kesesakan di hospital termasuklah di negeri Selangor, Kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) bersetuju untuk Kementerian Kesihatan melaksanakan projek rintis melalui pemanjangan waktu operasi klinik kesihatan yang berdekatan dengan hospital terlibat seperti berikut;
 
Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang (yang berdekatan dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah);
Klinik Kesihatan Taman Ehsan, Gombak (yang berdekatan dengan Hospital Selayang); dan 
Klinik Kesihatan Ampang, Hulu Langat (yang berdekatan dengan Hospital Ampang). 
 
Pelaksanaan projek rintis ini dilaksanakan mulai 25 Mac 2023 hingga 31 Disember 2023. Dalam tempoh ini, pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad telah diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis bagi membolehkan Elaun Lokum dibayar sekiranya mereka diarah bertugas secara lokum. Selain itu, Pegawai Farmasi dan Juru X-ray dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional juga diberi pemanjangan Elaun Lokum pada kadar yang berbeza. 
 
Hasil pelaksanaan projek rintis telah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran Elaun Lokum sedang dalam pertimbangan Agensi Pusat. Buat masa ini, pegawai perubatan yang diarah bertugas pada hari Sabtu dan Hari Kelepasan Am masih layak menuntut Elaun Lokum, manakala pada hari Ahad yang melibatkan waktu bekerja mulai jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang, pegawai perubatan boleh menuntut Cuti Gantian tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan.
 
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
21 FEBRUARI 2024


SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:

Nama : Nurhanis Asyeera binti Rahman
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
e-mel : nurhanisasyeera@moh.gov.my

--BERNAMA
+