BERKHATAN YANG SELAMAT BAGI KANAK-KANAK LELAKI

Jumaat 23/02/2024

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Sempena cuti akhir persekolahan sesi 2023/ 2024 ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menarik perhatian ibu bapa tentang prosedur berkhatan kanak-kanak lelaki yang selamat. KKM sedia maklum akan keperluan berkhatan di kalangan kanak-kanak lelaki di Malaysia terutamanya bagi kanak- kanak Muslim, di mana secara amnya, ianya merupakan sebahagian daripada tuntutan agama. 

Berdasarkan hasil daripada audit berkhatan bagi kanak-kanak lelaki yang telah dijalankan oleh KKM pada cuti persekolahan yang lalu (iaitu pada 14 Disember 2023 sehingga 1 Januari 2024), terdapat peningkatan bilangan kes rujukan ke hospital-hospital KKM bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi selepas berkhatan. Komplikasi-komplikasi ini terdiri daripada komplikasi minor (seperti pendarahan dan jangkitan kuman) dan komplikasi major (seperti kecederaan pada glans penis, keradangan melampau dan pemotongan kulit yang berlebihan) yang memerlukan pembedahan semula (corrective atau repair surgery). Komplikasi komplikasi ini, samada major mahu pun minor sudah tentu akan mengakibatkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan kanak-kanak. Di samping itu, ia akan turut membawa kepada gangguan mental dan menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak itu sendiri. 

Sehubungan itu, KKM memandang serius akan perkara ini dan menyarankan agar ibu bapa yang merancang untuk membawa anak menjalani prosedur berkhatan pada musim cuti sekolah ini hendaklah cakna dan memastikan fasiliti tersebut adalah fasiliti yang berdaftar dengan KKM. Ibu bapa juga dinasihatkan agar memastikan program berkhatan yang dijalankan adalah dikendalikan oleh pengendali dan pengamal perubatan yang berdaftar dengan KKM dan terlatih dalam menjalankan prosedur berkhatan.

Sekiranya ibu bapa bercadang untuk mengkhatankan anak di program anjuran yang dijalankan di luar fasiliti kesihatan, KKM menyarankan agar ibu bapa memastikan bahawa anak tersebut berumur tujuh (7) tahun dan ke-atas (memandangkan di usia ini anak-anak lebih matang dan bersedia secara mental) dan mempunyai keadaan fizikal atau anatomi zakar yang normal dan sesuai (yang telah menjalani pemeriksaan dan disahkan oleh doktor sebelum berkhatan). Bagi kanak-kanak yang tidak memenuhi kriteria di atas, KKM menyeru agar ibu bapa mendapatkan nasihat doktor dan pakar perubatan di mana-mana fasiliti kesihatan yang berdekatan. 

KKM juga ingin menegaskan bahawa terdapat beberapa masalah kesihatan yang tidak sesuai untuk menjalani prosedur berkhatan di luar hospital. Masalah-masalah tersebut termasuk:

• Fizikal (anatomi) zakar yang tidak normal seperti Hypospadias, buried penis, phimosis dan sebagainya;
• Masalah pendarahan seperti hemofilia, Von Willebrand Disease dan lain-lain; atau
• Anak berkeperluan khas seperti Down’s Syndrome, Autism, Cerebral Palsy dan sebagainya. 

Di samping itu, sekiranya ibu bapa merasakan dan mendapati anak tidak dapat memberikan kerjasama semasa prosedur dijalankan, adalah dinasihatkan supaya ibu bapa sewajarnya untuk tidak meneruskan prosedur tersebut. Ibu bapa boleh membawa anak tersebut ke hospital yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan selanjutnya. Ibu bapa juga digesa untuk membawa anak ke fasiliti kesihatan yang berdekatan sekiranya berlaku komplikasi selepas berkhatan seperti pendarahan, perubahan warna pada zakar atau kulit sekelilingnya, jangkitan kuman (seperti demam, sakit dan bernanah) dan tidak boleh membuang air kecil, serta apa jua kebimbangan yang dirasakan perlu mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan. 

Pada ketika ini, bagi memastikan prosedur berkhatan yang dijalankan adalah selamat, KKM telah menubuhkan satu Kumpulan Kerja Teknikal (Technical Working Group) yang terdiri daripada pengamal perubatan kerajaan dan swasta bagi pemantauan aktiviti berkhatan di Malaysia. Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan KKM dalam memastikan tahap kompetensi pengamal perubatan yang menjalankan prosedur berkhatan dipantau secara berterusan. Bagi tujuan ini, KKM turut menjalankan latihan secara berterusan kepada pengamal perubatan dan menjalinkan kerjasama erat bersama pengamal perubatan swasta dan non governmental organization (NGO) yang terlibat dengan prosedur berkhatan. 

Sebagaimana maklum, keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan KKM. Oleh itu, KKM ingin menegaskan bahawa hanya pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang terlatih dan kompeten sahaja yang dibenarkan menjalankan prosedur berkhatan dengan menggunakan kaedah dan peralatan yang telah mendapat kelulusan daripada Medical Device Authority (MDA). Ini mustahak bagi memastikan prosedur ini adalah selamat dan bebas daripadaa sebarang komplikasi. Sehubungan itu, pihak penganjur program berkhatan di luar fasiliti kesihatan yang merancang untuk menganjurkan program berkhatan pada musim cuti persekolahan ini, hendaklah memaklumkan penganjuran tersebut kepada KKM sebagaimana surat YBhg. Datuk Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Surat Keperluan Memaklumkan Penganjuran Program Berkhatan di Luar Fasiliti Kesihatan yang telah diedarkan pada 9 Februari 2024. 

Oleh yang demikian, KKM berharap agar ibu bapa dan pengamal perubatan kerajaan serta swasta dapat mengambil langkah- langkah yang sewajarnya demi memastikan keselamatan anak- anak yang menjalani prosedur berkhatan adalah terjamin. 

DATUK SERI DR. DZULKEFLY AHMAD
MENTERI KESIHATAN
22 FEBRUARI 2024  

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Tel: +603-8883 3470

--BERNAMA
+