PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Majlis Penjenamaan Semula dan Pelancaran Logo IKIMfm hari ini disempurnakan oleh YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), bertempat di Kompleks Nasrul Quran, Putrajaya.
Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) yang dilancarkan pada 6 Julai 2001 oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada tahun ini telah mencecah ke usia 23 tahun penubuhannya. Selari dengan kepesatan teknologi penyiaran digital, radio IKIM melalui penjenamaan semula sebagai strategi untuk mengukuhkan jenamanya selain sebagai usaha menyasar peningkatan jumlah pendengar radio IKIMfm di negara ini.
Pembaharuan penjenamaan kali ini adalah sebutan ’Radio IKIM’ kepada ’IKIMfm’, tagline ’Inspirasi Utama Anda’, reka bentuk baharu logo IKIMfm, penjenamaan semula segmen radio, media sosial IKIMfm dan lagu tema IKIMfm.
Rekabentuk logo baharu IKIM lebih menyerlahkan lagi imej korporat IKIMfm dengan sebutan dan reka bentuk logo yang lebih mudah, jelas, menarik dan segar. Manakala segmen yang bersiaran di radio menggunakan nama Inspirasi Pagi (jam 6.00 hingga 10.00 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat), Inspirasi Ilmu (jam 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, setiap Isnin hingga Jumaat) Inspirasi Jiwa (jam 1.00 tengah hari hingga 4.00 petang, setiap Isnin hingga Jumaat), Kembara Inspirasi (jam 4.00 petang hingga 7.00 malam, setiap Isnin hingga Jumaat), Suara Inspirasi (jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam, setiap Isnin hingga Jumaat) dan Evening Hours (bersiaran jam 5.00 petang hingga 7.00 malam, setiap Sabtu dan Ahad).
Media sosial IKIMfm boleh dicapai melalui platform Facebook: IKIMfm, Instagram: ikimfm.my, TikTok: ikimfm.my, X: @ikimfm_my, Youtube: ikimfm_my dan Website : ikimfm.my. Lagu tema IKIMfm terbaharu dinyanyikan oleh para penyampai IKIMfm, komposer Daqmie dan lirik oleh Ito Lara.
Pada hari ini juga turut dilancarkan kempen rancangan istimewa Ramadan 1445H oleh Pusat Media IKIM yang juga diterbitkan dengan kerjasama rakan strategik termasuk Durioo+, Waqaf An-Nur, UNITEM, MAIJ, Hospital PUSRAWI, Halal Gel, Co-opbank dan lain-lain rakan penaja.
4 MAC 2024
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT
SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNG:
Nama : Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel : 016-2195345
e-mel : nikhasnah@ikim.gov.my
Nama : Cik Nor Zuliana binti Mohd Zaman
Tel : 019-5622221
e-mel : zuliana@ikim.gov.my
--BERNAMA