6 SYARIKAT KORPORAT TUNAI ZAKAT PERNIAGAAN KEPADA PPZ-MAIWP

Selasa 05/03/2024

Table

PPZ-MAIWP menerima bayaran zakat perniagaan dari 6 syarikat korporat berjumlah RM4,254,752.03.
 

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menerima bayaran Zakat Perniagaan berjumlah RM4,254,752.03 daripada 6 syarikat dalam Majlis Serahan Zakat Perniagaan Bersama YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 4 Mac 2024.
 
Penganjuran majlis ini adalah simbolik penyerahan zakat perniagaan syarikat-syarikat korporat di Wilayah Persekutuan kepada PPZ-MAIWP bagi haul 2022 dan 2023.  
 
Berikut adalah 6 buah syarikat yang menunaikan Zakat Perniagaan mereka pada 4 Mac 2024:
 
1. Cypark Resources Berhad : RM 500,000.00
2. GMA Resources Sdn. Bhd. : RM 1,000,000.00
3. KPJ Healthcare Berhad dan syarikat-syarikat dalam kumpulan KPJ : RM 722,881.39
4. Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd : RM 510,000.00
5. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam – SWCorp : RM 844,269.64
6. Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran : RM677,601.00

Penyerahan zakat perniagaan tersebut disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar dan Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, YBhg. Datuk Nizam Yahya serta Setiausaha MAIWP merangkap Pengarah JAWI, YBhg. Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar di dalam ucapannya berkata 16% daripada kutipan zakat pada tahun 2023 adalah daripada pembayaran zakat perniagaan iaitu sebanyak RM165.7 juta yang mana merupakan penyumbang kedua terbesar kutipan zakat selepas zakat pendapatan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang masih dan terus menunaikan zakat dan di kesempatan ini saya ingin menyeru kepada lebih ramai syarikat dan individu di luar sana agar tampil menunaikan zakat demi memastikan lebih ramai asnaf terus terbela”

Beliau turut menegaskan bahawa tanggungjawab menyebarkan dakwah ini bukan terletak kepada institusi agama semata-mata, malah ianya adalah tanggungjawab dan amanah bersama untuk terus menyebarkan Islam di mata dunia begitu juga dengan ibadah zakat.

“Sebagai majikan, ambillah tanggungjawab dan peranan untuk mendidik kakitangan agar menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga ini. Sama-sama kita panjangkan kepentingan ibadah ini agar kemanisannya dapat dirasai bersama,” tambahnya lagi.

PPZ-MAIWP melalui MAIWP menawarkan Skim Wakalah atau Pengembalian Semula Wang Zakat untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan. Pembayaran zakat perniagaan serendah RM10,000 dan ke atas boleh mendapat pulangan semula wang zakat sehingga bermula 12.5% sehingga 50% untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang memerlukan.

Syarikat boleh membuat permohonan wakalah sebanyak 50% jika membayar zakat perniagaan melebihi RM1,000,000.00 setahun manakala 37.5% kepada majikan yang mewajibkan potongan gaji sekurang-kurangnya 80% kakitangan membuat potongan zakat kepada PPZ-MAIWP dan melebihi nilai RM100,000.00 setahun.

SUMBER: PPZ-MAIWP 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT DAN RSVP, SILA HUBUNGI:

Nama: NORAZLINA MOHD NORDIN
Pengurus Komunikasi Korporat PPZ-MAIWP
Tel: 019 728 3839

--BERNAMA

 
+