KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Bersempena dengan bulan Ramadan ini, pastinya penjualan juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dan premis makanan akan menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat. Bazar Ramadan dan premis makanan seluruh negara akan dipenuhi dengan pengunjung yang ingin membeli pelbagai jenis juadah makanan untuk berbuka puasa.
Selaras dengan keperluan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan peraturan di bawahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) komited untuk memastikan keselamatan makanan yang dijual sentiasa terjamin dengan menjalankan aktiviti pemantauan sebelum dan sepanjang bulan Ramadan.
Aktiviti pemeriksaan yang dijalankan di sepanjang rantaian makanan meliputi peringkat sumber bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah bermula sebelum Ramadan lagi. Ini diteruskan lagi dengan aktiviti pemeriksaan di premis-premis tumpuan seperti hotel-hotel yang menyediakan buffet Ramadan, premis-premis pembekal bahan mentah dan juga premis-premis penyediaan ais. Kerjasama dengan PBT juga dikukuhkan lagi dengan penganjuran taklimat-taklimat keselamatan makanan kepada pengendali bazar-bazar ramadan, memastikan pengendali mendapat suntikan pelalian anti tifoid dan menjalani latihan pengendali makanan.
Pada bulan Ramadan kali ini, KKM akan meneruskan Operasi Ramadan 2024 serentak di seluruh negara di semua premis makanan termasuk bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negara. Aktiviti operasi ini melibatkan pemeriksaan premis serta pensampelan makanan yang bermatlamat untuk memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat, mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Pemeriksaan ini juga akan dijalankan dengan kerjasama pihak PBT masing-masing.
Selain itu, kempen-kempen kesedaran berkaitan keselamatan makanan kepada orang ramai, pengendali dan pengusaha premis bahan mentah, premis penyediaan makanan, premis pembekal makanan turut giat dijalankan melalui bahan pendidikan kesihatan, media massa, media elektronik dan media sosial. Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini dalam memilih apa sahaja juadah berbuka, sebelum membeli “Perhati dan Pilih” serta amalkan “Lihat Hidu Rasa” kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan. Para peniaga pula dinasihatkan supaya membersihkan terlebih dahulu bahan mentah sebelum digunakan dalam penyediaan makanan dan tidak menyediakan makanan yang berisiko tinggi terlalu awal daripada waktu untuk dijual.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Melalui pelaksanaan pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan, KKM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan sepanjang Ramadan adalah terkawal. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang
http://moh.spab.gov.my serta facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM)
www.facebook.com/bkkmhq.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
12 MAC 2024
SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187