KENYATAAN MEDIA BERSAMA KOMITMEN MALAYSIA TERHADAP HAK UNTUK KESIHATAN

Isnin 08/04/2024

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia, dan Dr Rabindra Abeyasinghe, Wakil WHO untuk Malaysia, Brunei Darussalam, dan Singapura. 

Sempena Hari Kesihatan Sedunia tahun ini, amatlah penting untuk kita renungkan prinsip yang penting untuk mencapai kesejahteraan insan iaitu hak untuk hidup sihat. Seperti juga negara negara lain, hak rakyat Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang bermutu dan mudah kini menjadi semakin penting. Meskipun Malaysia menikmati banyak kemajuan yang ketara dalam hal ini, masih terdapat jurang perbezaan dan rintangan yang perlu ditangani demi merealisasikan hak kesihatan untuk semua.

Tema Hari Kesihatan Sedunia tahun ini ialah "Kesihatan Saya, Hak Saya". Ia menegaskan bahawa setiap individu, tanpa mengira latar belakang mahupun keadaan, berhak untuk menikmati perkhidmatan kesihatan, pendidikan, air minuman yang selamat, udara bersih, pemakanan yang mencukupi, tempat tinggal yang selamat, keadaan kerja dan alam sekitar yang wajar, serta bebas daripada diskriminasi. Tema ini merangkumi hak kesihatan yang komprehensif sifatnya, serta menekankan peranan hak kesihatan yang komprehensif sifatnya, serta menekankan peranan pentingnya untuk memupuk martabat dan kesejahteraan manusia.

Kesihatan bukan sekadar ketiadaan penyakit; ia turut merangkumi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial. Hak kesihatan tidak boleh dianggap sebagai keistimewaan yang eksklusif; ia adalah suatu hak asasi manusia yang memerlukan pengiktirafan dan penunaian oleh semua. Bagi menangani kesenjangan kesihatan dan meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi darurat di masa hadapan, hak kesihatan perlu dimartabatkan secara bersama. Walaupun pelaksanaan agenda pembaharuan yang terkandung Kertas Putih Kesihatan menjadi kian sukar akibat pemulihan ekonomi pascapandemik, usaha untuk meningkatkan penjagaan kesihatan sejagat dan kesaksamaan kesihatan mampu sekiranya hak kesihatan dinobatkan sebagai teras agenda kita.

Hak kesihatan merangkumi empat unsur penting yang saling berkait iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penerimaan dan mutu. Walaupun Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam penawaran penjagaan kesihatan secara sejagat berdasarkan keempat empat unsur ini, masih banyak yang perlu diikhtiarkan untuk membolehkan rakyat menikmatinya secara saksama.

Sebagai contoh, Malaysia berjaya menangani kesenjangan capaian penjagaan kesihatan melalui pembangunan infrastruktur terutamanya di kawasan terpencil. Pelbagai daya usaha telah dilaksana seperti membina fasiliti penjagaan kesihatan baharu di kawasan pedalaman. Di samping itu, Malaysia telah mengagihkan peruntukan dalam bidang teleperubatan dan klinik kesihatan bergerak untuk menyampaikan khidmat kepada penduduk yang sukar mendapat perkhidmatan seperti di kawasan terpencil. Usaha seperti ini berjaya meningkatkan capaian dan mutu penjagaan kesihatan untuk masyarakat pedalaman dan merapatkan jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. Namun begitu, masih banyak yang perlu diusahakan perlu diusahakan untuk merealisasikan penjagaan kesihatan sejagat.

Malaysia juga telah melaksanakan program pendidikan kesihatan yang menyeluruh untuk memupuk amalan penjagaan kesihatan berlandaskan pencegahan, serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mendapat rawatan perubatan awal. Dengan memperkaya setiap individu dengan ilmu dan kemahiran untuk menguruskan kesihatan mereka secara proaktif, Malaysia bukan sahaja dapat menangani kesenjangan kesihatan sedia ada, malah turut membina generasi akan datang yang lebih sihat. 

Menjayakan hak kesihatan memerlukan gemblengan usaha bersama.  Kerajaan MADANI komited untuk bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh termasuk penggubal dasar, pembekal penjagaan kesihatan, pertubuhan masyarakat sivil dan sektor swasta. Menginsafi peranan liputan kesihatan sejagat (UHC) demi menjamin capaian yang saksama, Malaysia telah berusaha memperluaskan cakupan UHC dan meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan. 

Untuk mengelakkan keciciran, kita harus terus melabur untuk mengembangkan UHC dan mengukuhkan sistem kesihatan. Sebuah sistem yang mampan dan inklusif bukan sahaja menjadi jaminan capaian penjagaan kesihatan yang saksama, malah membolehkan setiap individu membuat keputusan termaklum tentang hal ehwal kesihatan mereka. Ini dapat memupuk budaya pengurusan kesihatan yang proaktif.

Sempena sambutan Hari Kesihatan Sedunia kali ini, kita haruslah meneguhkan iltizam untuk menegakkan hak kesihatan untuk semua tanpa mengira status sosioekonomi, lokasi geografi, atau sebarang halangan lain. Untuk hidup sihat, setiap individu memerlukan per khidmatan kesihatan dan sumber yang  secukupnya. Masa depan yang lebih cerah dan sihat, sama ada untuk kita atau generasi seterusnya, adalah hak bersama. Oleh itu, ayuh kita berganding bahu untuk memperjuangkan hak ini.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Tel: +603-8883 3470
Faks: +603-8888 6187 

--BERNAMA

+