Selasa 07/05/2024
KUALA LUMPUR, Malaysia, 7 Mei (Bernama) -- UOB Malaysia hari ini melancarkan Kelas Pakar Keperluan Rantaian Bekalan Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (Carbon Border Adjustment Mechanism atau CBAM) bagi membantu perniagaan memahami dan bersiap sedia menghadapi pelaksanaan keperluan CBAM Kesatuan Eropah (EU) pada 2026.
CBAM adalah cukai sempadan karbon yang meletakkan harga berpatutan ke atas karbon yang dihasilkan semasa pengeluaran barangan intensif karbon yang memasuki EU, selain menggalakkan pengeluaran perindustrian yang lebih bersih di negara bukan EU. Pada masa ini, CBAM bagi EU berada dalam fasa peralihan dan akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 2026. Perubahan dalam kawal selia ini akan memberi kesan kepada perniagaan Malaysia yang mengeksport ke EU kerana ia memerlukan mereka menggunakan metodologi CBAM untuk mengukur dan melaporkan jumlah pelepasan karbon yang terkandung dalam pengeluaran barangan tertentu.
Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Mekanisme Pelarasan Sempadan Karbon (CBAM) ini dijangka memberi kesan kepada 75 peratus eksport Malaysia ke EU¹ , pasaran eksport keempat terbesar Malaysia². Keperluan kawal selia baharu ini pasti akan menekankan betapa pentingnya kemampanan dalam rantaian bekalan global. Tumpuan kami kekal terhadap usaha mempermudah perdagangan global, dan Kelas Pakar Keperluan Rangkaian Bekalan CBAM hanyalah salah satu daripada beberapa cara kami membantu perniagaan tempatan meningkatkan daya saing mereka. Ini dilakukan dengan membekalkan pengetahuan yang membolehkan mereka bersiap sedia menghadapi pelaksanaan peraturan baharu EU."
Disusun secara eksklusif oleh UOB Malaysia & PricewaterhouseCoopers Malaysia (PwC), Kelas Pakar CBAM ini membantu perniagaan memahami topik CBAM dengan lebih mendalam. Merangkumi tiga bahagian, program ini dimulakan dengan perniagaan mengenal pasti peringkat kematangan kemampanan mereka dengan menggunakan UOB Sustainability Compass. Kemudian, mereka akan mempelajari tentang keperluan CBAM yang mempengaruhi sektor masing-masing secara mendalam, dan juga penyelesaian pembiayaan mampan yang tersedia bagi membantu usaha menyahkarbon dan mengurangkan pelepasan karbon yang wujud dalam produk mereka.
Kelas pakar CBAM ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Bank untuk membantu perniagaan beralih kepada ekonomi rendah karbon. Pada tahun lepas, UOB Malaysia telah melancarkan ‘Jom Transform Sustainability Accelerator Programme’³ bagi membekalkan PKS dengan pengetahuan dan alatan untuk memenuhi keperluan pemegang berkepentingan mereka.