MIMOS DAN G7 AEROSPACE TANDATANGANI MOU UNTUK MEMPERTINGKATKAN KEDAULATAN DAN INOVASI AEROSPACE MALAYSIA

Rabu 08/05/2024

BUKIT JALIL, 8 Mei (Bernama) -- Pada hari ini di acara DSA & NATSEC ASIA 2024, MIMOS Berhad dan G7 Aerospace Sdn. Bhd (G7A) telah mengukuhkan kerjasama mereka melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU). Perjanjian ini bertujuan untuk membina Keupayaan Integrasi Sistem Tempatan dalam ekosistem aerospace Malaysia. MoU ini disaksikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Dato' Haji Mohammad Yusof bin Apdal, dan ditandatangani oleh Dr Saat Shukri Embong, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS, serta Datuk Rosdi bin Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif G7 Aerospace.

Kerjasama strategik ini menggariskan komitmen bersama untuk memperkukuh keupayaan Malaysia dalam teknologi aerospace, menggalakkan kemajuan teknologi, dan memupuk aktiviti bernilai tinggi dalam sektor tersebut. Kolaborasi ini akan merangkumi pelbagai inisiatif termasuk penyertaan dalam program Pusat Inovasi Teknologi Industri (ITIC) yang diuruskan oleh MIMOS, projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama yang tertumpu pada inovasi bahagian avionik, pembinaan kapasiti melalui latihan dan pemindahan pengetahuan, serta projek yang disesuaikan dalam sektor Elektronik dan Elektrik (E&E) avionik.

Dr Saat Shukri Embong gembira terhadap perkongsian ini, dengan menyatakan, "Sebagai penyedia solusi teknologi negara, MIMOS sangat teruja untuk berkolaborasi dengan pihak berkepentingan industri untuk meningkatkan industri aerospace Malaysia dari perkhidmatan hiliran ke huluan, selari dengan New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 dan Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030 yang dibangunkan oleh MITI dan MIGHT."

Datuk Rosdi bin Mahmud juga menekankan kepentingan kerjasama ini, “Kolaborasi antara G7 Aerospace dan MIMOS menandakan satu pencapaian signifikan dalam usaha giat kami ke arah kecemerlangan inovasi dalam landskap industri aerospace negara. Dengan komitmen bersama untuk menerajui kemampuan integrasi sistem tempatan, kami berkeyakinan untuk merevolusi pendekatan solusi industri pertahanan. Kerjasama ini bukan sahaja menekankan dedikasi kami untuk memajukan kemampuan aerospace Malaysia, malah ia juga memberi fokus kepada matlamat bersama kami untuk memacu kemampanan teknologi dan kemakmuran ekonomi melalui inovasi. Dengan aspirasi yang tinggi, kami berharap agar kerjasama ini akan disusuli impak perubahan yang akan mentransformasi industri aerospace negara.”

Kerjasama ini memberikan MIMOS peluang unik untuk memacu kemajuan signifikan dalam industri aerospace Malaysia dengan membolehkan aktiviti Bukti Konsep melalui program ITIC. Inisiatif ini memungkinkan MIMOS untuk menyokong pemain industri dalam menguji dan menyempurnakan teknologi mereka sebelum dikomersialkan, secara efektif mempercepat inovasi dan memendekkan masa untuk membawa produk baru ke pasaran.

Selaras dengan objektif strategik New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 dan Malaysia Aerospace Industry Blueprint 2030, kolaborasi ini direka khusus untuk meningkatkan keselamatan ekonomi dan memperkukuh ketahanan serta daya saing ekosistem pembuatan Malaysia. Dengan memupuk kerjasama strategik seperti ini, MIMOS menyumbang kepada pertumbuhan industri yang lestari dan penciptaan pekerjaan di seluruh sektor serta meningkatkan peranannya sebagai katalis dalam mengubah Malaysia menjadi hab utama dalam teknologi dan inovasi aerospace di peringkat global.

G7 Aerospace Sdn. Bhd. (G7A) akan memainkan peranan penting dengan memanfaatkan kepakaran mereka dalam perkhidmatan penyelenggaraan avionik, dengan itu memperkuat kemampuan huluan dan hiliran. Penglibatan mereka akan meningkatkan keseluruhan kualiti dan kebolehpercayaan perkhidmatan dan produk aerospace di seluruh Malaysia. Sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh, G7A akan memberi tumpuan kepada pemahaman keperluan pelanggan untuk peningkatan avionik, menyediakan dokumentasi reka bentuk untuk integrasi sistem dan pensijilan keselamatan, melabur dalam perkakasan dan perisian yang diperlukan untuk prototaip, serta memasarkan solusi kepada pengguna akhir dan pelanggan yang berpotensi. Pendekatan holistik ini bertujuan untuk membina kepakaran seluruh industri dan meletakkan Malaysia sebagai hab utama dalam industri aerospace global.

Mengenai MIMOS Berhad

MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan lebih daripada 1,300 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa, menjenamakan semula dirinya sebagai MIMOS Global pada 2022.

Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my.


SUMBER : MIMOS Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Muriani Mat Zin
Ketua Jabatan, Komunikasi Korporat
Emel : muriani@mimos.my
 
Nama : Patricia Liew
Pengurus, Komunikasi Korporat
Emel : patricia.liew@mimos.my 
 
Nama : Laurence Sebastian
Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat
Emel : laurence@mimos.my  

--BERNAMA
+