PELANTIKAN PENGERUSI BAHARU PUSAT PUNGUTAN ZAKAT MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN (PPZ-MAIWP)

Rabu 15/05/2024

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memaklumkan bahawa YBhg. Dato’ Sri Amrin Awaluddin telah dilantik sebagai Pengerusi PPZ-MAIWP berkuatkuasa 23 April 2024 hingga 14 Februari 2026.
 
YBhg. Dato’ Sri Amrin Awaluddin berumur 58 tahun merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Acadia, Kanada dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dengan kepujian dari University of Hull, England. Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), UK dan Akauntan Bertauliah Institut Akauntan Malaysia (MIA). 
 
Beliau mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di sektor korporat dan memulakan kariernya di institusi perbankan sebelum memegang beberapa jawatan penting di beberapa syarikat seperti Renong Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Putera Capital Berhad.
 
Dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di beberapa buah syarikat lain antaranya Kumpulan Syarikat Media Prima Berhad, Sime Darby Properties Berhad, Boustead Holdings Berhad, Kumpulan Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji dan Tradewinds Group (M) Sdn Bhd.
 
Ahli Lembaga Pengarah, barisan Pengurusan dan warga kerja PPZ-MAIWP mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau dan yakin dengan pengetahuan dan pengalaman luas yang dimiliki oleh YBhg. Dato’ Sri Amrin Awaluddin mampu membawa PPZ-MAIWP ke arah yang lebih cemerlang.
 
PPZ-MAIWP ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang telah menamatkan perkhidmatannya pada 9 Februari 2024 di atas sumbangan dan khidmat beliau.
 
Unit Komunikasi Korporat
Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP)
15 Mei 2024 / 6 Zulkaedah 1445H
 

”PPZ-MAIWP MEMUDAHKAN ANDA BERZAKAT”   


Latar Belakang PPZ-MAIWP

Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) adalah sebuah agensi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengutip zakat harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. PPZ-MAIWP telah merevolusikan institusi zakat dengan memperkenalkan sistem kutipan zakat melalui institusi yang berciri korporat di negara Malaysia. Sejak penubuhan, PPZ-MAIWP telah berusaha menambah baik operasi dan perkhidmatan untuk meningkatkan kemudahan umat Islam dalam melaksanakan kefardhuan berzakat. Setakat ini PPZ-MAIWP telah menyediakan pelbagai saluran bayaran zakat bagi memberi pilihan dan kemudahan kepada umat Islam.  Untuk maklumat lanjut, sila layari www.zakat.com.my


SUMBER : Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Norazlina Mohd Nordin,
Pengurus Komunikasi Korporat PPZ-MAIWP
Tel : 019 - 728 3839

 
--BERNAMA
+