Sehingga kini, varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dan subvariannya. Terdapat satu (1) kes K.P.2.1 dan satu (1) kes KP.1.1 telah dilaporkan sejak Mac 2024. Kedua-dua varian KP.2.1 dan KP.1.1 adalah sebahagian daripada keluarga Omicron. Secara khususnya, mereka adalah
sublineage daripada JN.1.11.1. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan KP.2 sebagai
Currently Circulating Variant Under Monitoring (VUM) pada 3 Mei 2024. Namun, kemasukan varian ini tidak menyebabkan jangkitan yang teruk kepada individu yang dijangkiti.
Virus COVID-19 akan terus berada bersama kita dan kita perlu berwaspada menghadapinya. Orang ramai dinasihatkan untuk memperkasakan diri bagi menjaga kesihatan masing-masing serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkan kepada orang lain susulan perjumpaan dengan orang ramai di tempat tertutup dan sesak. Langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu diamalkan untuk “hidup bersama COVID-19” dengan selamat adalah:
i. Kerap mencuci tangan dengan pensanitasi;
ii. Memakai pelitup muka terutamanya bagi yang berisiko tinggi mendapat jangkitan, atau individu yang bergejala, atau apabila berada di tempat tertutup atau sesak; dan
iii. Golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 (seperti umur 60 tahun dan ke atas dan masalah perubatan), disarankan untuk mengambil dos tambahan vaksin COVID-19 dengan sela masa 6 hingga 12 bulan daripada dos terakhir penerimaan vaksin COVID-19.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
19 MEI 2024
SUMBER: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: NURHANIS ASYEERA BINTI RAHMAN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-mel: nurhanisasyeera@moh.gov.my
--BERNAMA