SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA MINGGU EPIDEMIOLOGI 20 (12 MEI 2024 - 18 MEI 2024)

Selasa 28/05/2024

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-20 tahun 2024, jumlah kes demam denggi yang dilaporkan adalah sebanyak 2,461 kes berbanding 2,338 kes pada minggu sebelumnya. Terdapat dua (2) kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-20 tahun 2024.
 
Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-20 adalah sebanyak 59,681 kes berbanding 43,619 kes bagi tempoh sama tahun 2023. Manakala terdapat 42 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 28 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023.
 
Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-20 adalah sebanyak 59 lokaliti berbanding 60 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya. Dari 59 lokaliti yang dilaporkan, 44 lokaliti di Selangor, empat (4) lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya, empat (4) lokaliti di Sarawak, tiga (3) di lokaliti Kedah, dua (2) lokaliti di Perak, satu (1) lokaliti di Pulau Pinang dan satu (1) lokaliti di Negeri Sembilan.

Bagi survelan chikungunya, terdapat satu (1) kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-20. Jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 25 kes. Tiada wabak Chikungunya dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-20. Bagi survelan zika, sebanyak 1,021 sampel darah dan enam (6) sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
 
Musim cuti sekolah penggal pertama 2024 telah bermula. Oleh itu, pihak sekolah serta kontraktor pembersihan yang dilantik disarankan untuk melakukan beberapa tindakan bagi mengawal dan menurunkan populasi nyamuk di sekolah semasa cuti sekolah. Berikut adalah langkah-langkah pencegahan denggi sebelum cuti sekolah:

i. Melakukan aktiviti Cari dan Musnah tempat-tempat pembiakan Aedes di dalam dan luar bangunan sekolah secara berkala.
ii. Buang semua bekas atau sampah yang boleh menakung air.
iii. Tutup pam dan mangkuk tandas dengan rapat.
iv. Pastikan longkang dan palong air hujan tidak tersumbat.
v. Meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas yang menakung air yang tidak boleh dihapuskan seperti kolah air, pam tandas, kolam buatan dan sebagainya.

Jadikan Sekolah kita BEBAS dari Nyamuk Aedes. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika.

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
28 Mei 2024 

LAMPIRAN

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia


UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
NURHANIS ASYEERA BINTI RAHMAN

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-mel: nurhanisasyeera@moh.gov.my

--BERNAMA
+