KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan media massa mengenai gesaan menghentikan penjualan dua (2) jenama rempah dari India kerana dipercayai mengandungi
ethylene oxide. Jenama rempah yang terlibat adalah Everest Fish Curry Masala dan MDH Curry Powder.
Ethylene oxide sering digunakan untuk membunuh serangga perosak dan turut digunakan dalam rempah untuk mengawal cemaran mikrobiologi yang berpunca dari bakteria, virus dan kulat. Selain itu, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci. Pada masa kini, penggunaannya dalam makanan dan juga bahan bersentuhan makanan adalah
tidak dibenarkan disebabkan
ethylene oxide bersifat karsinogenik. KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk di seluruh negara. Berdasarkan semakan data melalui
Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM), sehingga April 2024, hanya terdapat satu (1) pengimportan masuk produk rempah berjenama Everest Fish Curry Masala dan tiada pengimportan masuk produk rempah berjenama MDH Curry Powder ke Malaysia.
Mana-mana peniaga termasuk peniaga dalam talian yang mempunyai stok produk tersebut diarahkan untuk
menghentikan penjualan produk berkaitan dan semua platform e-dagang dan media sosial diminta untuk
menghentikan penyiaran iklan makanan tersebut serta merta.
Pada masa ini, KKM melaksanakan pemantauan kandungan aflatoksin, logam berat dan residu racun perosak di dalam produk rempah di semua pintu masuk negara. Hasil pemantauan dari 2019 sehingga April 2024 mendapati 43 sampel yang diambil mematuhi keperluan perundangan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut:
•
http://moh.spab.gov.my•
https://www.facebook.com/bkkmhq KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
28 MEI 2024
SUMBER: Kementerian Kesihatan MalaysiaUNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: NURHANIS ASYEERA BINTI RAHMANUnit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-mel: nurhanisasyeera@moh.gov.my
--BERNAMA