HOME MATHS THERAPY JENAMA FRANCAIS BUMIPUTERA PERTAMA MENANGI ANUGERAH FRANCAIS TERBAIK

Khamis 30/05/2024

Table
 
Pemenang anugerah bergambar bersama tetamu kehormat di pentas utama.
 

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- HOME Maths Therapy jenama francais bumiputera pertama dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Francais Terbaik pada Anugerah Francais Malaysia.
 
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick kepada Encik Tajuddin Mustafa, Pengasas HOME Maths Therapy pada Malam Anugerah Francais 2024 (MAF2024), anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan sokongan KUSKOP bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
 
Anugerah Francais Malaysia ini turut mengiktiraf 17 pemenang dalam kategori lain seperti Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi, Kategori ESG, Kategori Terbuka dan Kategori Media. (Senarai Pemenang seperti di Lampiran A).
 
Anugerah ini merupakan satu platform yang bertujuan memperkasakan kemajuan serta memberi pengiktirafan kepada syarikat francais tempatan atas pencapaian dan sumbangan mereka kepada industri.
 
Selain itu, menurut Datuk Ewon Benedick, Penganugerah ini merupakan ruang untuk kita meraikan dan memberi pengiktirafan ke atas setiap pencapaian dan usaha inovasi yang telah dilaksanakan oleh usahawan francais di dalam membantu merancakkan ekonomi dan menyemarakkan lagi agenda reformasi negara.
 
“saya melihat pengiktirafan ini bukanlah pengakhiran untuk para usahawan berpuas hati dengan kejayaan dan pencapaian mereka.
 
Sebaliknya, ia merupakan satu permulaan untuk berjuang dengan lebih gigih dan bawa produk-produk francais negara agar setanding dengan jenama-jenama gah antarabangsa dan dapat bersaing di peringkat global,” tambahnya.
 
Sepanjang minggu ini juga turut berlangsung program Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2024 (FIM2024) bermula 30 Mei hingga 1 Jun 2024, bertempat di Dewan 4 & 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
 
FIM dianjurkan buat kali ke-31 dengan menghimpunkan lebih 120 jenama francais daripada serata dunia meliputi pelbagai sektor. Dengan tema ‘From Net Work To Net Worth In Franchising’, menjadikan FIM sebagai salah satu platform urusniaga francais yang kondusif buat usahawan francais tempatan dan antarabangsa.
 
Justeru, program pameran dan persidangan francais terunggul di Asia Tenggara ini mensasarkan seramai 30,000 orang pengunjung dengan jangkaan potensi pelaburan francais berjumlah RM600 juta sepanjang pameran tiga hari itu berlangsung.
 
Lebih menarik, bersempena itu juga turut dianjurkan bersama program Franchise-In Buying Mission serta Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise Council (WFC) yang akan menghimpunkan wakil francais daripada lebih 40 buah negara seperti China, Indonesia, Singapura, Filipina dan banyak lagi.
 
Mengulas lanjut, Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata,  program yang dianjurkan ini adalah signifikan dalam usaha membantu usahawan francais tempatan memperkukuhkan perniagaan mereka. Ianya juga dapat menggalakkan lebih banyak eksport francais ke luar negara serta mengalu-alukan kedatangan pelabur asing ke negara ini selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Francais bagi rantau Asia Tenggara.
 
Selain itu, program ini juga turut menerima tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Q-Solve, Marrybrown, Oldtown White Coffee, Harta Maintenance, Ayam Penyet Best, US Pizza, Perbadanan Usahawan Negeri Johor (PUJB) dan Little Caliphs.
 
Orang ramai dijemput hadir ke program ini dengan pelbagai aktiviti telah disediakan serta berpeluang untuk melihat sendiri peluang perniagaan francais yang ditawarkan oleh para penggiat francais tempatan dan antarabangsa.
 
Dengan susunan aktiviti yang pelbagai, FIM menjanjikan pengalaman kujungan yang lebih bermanfaat kepada pengunjung pada tahun ini.

LAMPIRAN A

SUMBER: Malaysian Franchise Association (MFA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat

Nama: Nurul Ain Binti Mohamad
Tel: 0112-9240213

--BERNAMA
+