
PETRONAS 50 Dreams merealisasikan 50 impian rakyat Malaysia terpilih, dan ini termasuklah Juraimie Ramli untuk memiliki kerusi roda elektrikKUALA PERLIS, 31 Mei (Bernama) -- Berusaha selagi mampu - itulah prinsip yang dipegang oleh Juraimie Ramli, 40, dalam meneruskan kelangsungan hidup biarpun berdepan dengan cabaran sebagai seorang ibu tunggal.
Juraimie yang juga orang kurang upaya (OKU) amat teruja apabila mendapat perhatian dan menerima pelbagai bantuan dari syarikat korporat, PETRONAS, menerusi Program PETRONAS 50 Dreams.
"Saya mengganggap bantuan yang diberikan seperti kerusi roda elektrik ini, buah tangan yang tiada ternilainya kepada saya dan keluarga.
"Kerusi roda elektrik yang diberikan oleh PETRONAS ini bukan sahaja memudahkan kerja-kerja harian saya, tetapi turut memberikan kemudahan jangka masa panjang untuk saya cari rezeki," ujarnya.
Menurutnya, kesempitan hidup mendorong beliau untuk berniaga seperti mengambil upah untuk menggunting cili kering, memotong serai dan sayuran.
“Selain daripada berniaga secara kecil-kecilan dengan mengambil upah untuk menggunting pelbagai sayuran, saya juga membuat dan menjual sabun. Itupun kalau ada permintaan, kalau tiada, saya akan mengurut dan bayaran pula bergantung kepada mereka (pelanggan).
"Kalau mengharap orang, benda tu terhad, selagi mana mampu, kita berusaha untuk buat (kerja) walaupun ada kekurangan diri," kata Juraimie ketika ditemu bual baru-baru ini.
Beliau turut bersyukur kerana selain daripada bantuan kerusi roda elektrik, pihak PETRONAS juga membaiki keadaan rumah untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya bersesuaian dengan keupayaannya.
"Saya berterima kasih kerana ada pihak yang sudi memperuntukkan belanja untuk menambah baik rumah yang saya diami seperti tempat letak kereta bersimen, mesin basuh, kabinet dapur dan set katil yang baharu serta mesin pembancuh sabun bagi kegunaan perniagaan,” ujarnya.
Selain memberi bantuan, PETRONAS turut meraikan Juraimie serta anaknya yang berusia lapan tahun untuk ‘makan angin’ di Pulau Langkawi.
Teruja berkongsi mengenai lawatan ke pulau lagenda itu, Juraimie berbangga kerana berpeluang untuk menaiki kereta kabel yang terletak di Gunung Mat Chinchang meskipun dirinya berkerusi roda.
“Ini merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan, malah anak saya turut seronok sebab saya memang jarang dapat bawa anak bersiar-siar ataupun melancong,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sumber kekuatannya, Juraimie berkata, anak-anak merupakan tonggak utama kepada dirinya dalam menempuh kehidupan.
“Bagi saya, anak-anak saya adalah tulang belakang, tanpa mereka saya umpama hilang sebelah tangan. Saya bersyukur anak saya bersikap terbuka untuk meluahkan perasaan.
“Harapan saya adalah untuk tengok anak-anak saya berjaya,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pejabat PETRONAS Wilayah Tengah dan Utara, Abu Hanzalah Abu Bakar berkata bersempena dengan ulang tahun ke-50 PETRONAS, syarikat minyak dan gas nasional itu menganjurkan program PETRONAS 50 Dreams untuk merealisasikan 50 impian rakyat Malaysia terpilih, termasuk Juraimie.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis yang sentiasa membantu menyelaraskan pengagihan sumbangan serta menjadi penghubung kepada PETRONAS untuk lebih mendekati golongan yang memerlukan di negeri ini.
“Untuk kali ini, kami amat berbesar hati dapat memenuhi impian Juraimie untuk memiliki kerusi roda elektrik yang membantu memudahkan pergerakan hariannya.
“Kami berharap dengan sumbangan ini termasuk kelengkapan lain akan memberikan kesenangan dan keceriaan kepada Juraimie dalam menjalani kehidupannya," katanya.
Dikeluarkan oleh
Komunikasi Media, Komunikasi Strategik,
Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan
PETRONAS
Gambarhttps://www.dropbox.com/scl/fo/hkaguoquu4ud76mtd2785/AO8Y5jVl4fc_7Oc-QpP-7C4?rlkey=wulup9sj5g9nff1oitu1h1iq4&st=f8xbbjpi&dl=0SUMBER: PETRONAS
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nabil Basaruddin
Tel: +6012 4249 750
E-mel: nabil.basaruddin@petronas.com
--BERNAMA