Khamis 20/06/2024
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan media massa mengenai isu lambakan dan status keselamatan makanan yang disumbangkan ke rumah kebajikan dan pusat tahfiz yang boleh menyebabkan kejadian keracunan makanan kepada penghuni dan pelajar institusi berkaitan seperti yang dilaporkan dalam akhbar Harian Metro bertarikh 18 Jun 2024.
KKM memandang serius isu yang dibangkitkan dan memohon semua pihak yang terlibat dalam sumbangan dan penerima sumbangan makanan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan makanan bagi mengelakkan sebarang kejadian keracunan makanan yang boleh memudaratkan kesihatan penerima. KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) sentiasa memperkasakan kawalan pencegahan keracunan makanan di setiap peringkat rantaian makanan antaranya dengan membangunkan Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan (Food Bank) yang menggariskan panduan bagi penyediaan makanan yang selamat dan berkualiti untuk tujuan sumbangan.
Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan (Food Bank) ini memberi panduan kepada penderma dan penerima mengenai tatacara pengendalian makanan sumbangan. Dalam hal ini, penderma makanan harus memastikan makanan yang disediakan adalah selamat dimakan dan meletakkan maklumat seperti maklumat tarikh, masa makanan siap dimasak, masa akhir perlu dimakan / tarikh luput makanan sebelum dimakan dan mesej keselamatan makanan supaya makanan tersebut dimakan dengan kadar segera dalam tempoh 4 jam selepas disediakan. Penderma hendaklah memastikan penerima mendapat maklumat awal berkaitan makanan yang hendak disumbangkan dan memastikan makanan yang disumbang diterima oleh penerima bukannya ditinggalkan tanpa pemakluman.
Penerima sumbangan makanan pula hendaklah merekodkan maklumat makanan yang diterima serta memastikan makanan yang diterima dalam keadaan baik dan selamat. Amalkan Lihat, Hidu, Rasa semasa penerimaan makanan. Penerima berhak menolak makanan yang diterima sekiranya keadaan makanan telah rosak, pembungkusan tidak sempurna, tiada maklumat makanan yang disumbangkan dan tempoh penyediaan telah melebihi 4 jam. Penerima dinasihatkan untuk makan makanan yang disumbangkan dengan kadar segera dan elakkan menyimpan makanan melebihi tempoh selamat.
Garis Panduan Keselamatan Makanan Bank Makanan (Food Bank) ini boleh dimuat turun di laman web Program Keselamatan dan Kualiti Makanan di hq.moh.gov.my/fsq. KKM turut mewujudkan kesedaran (create awareness) kepada semua masyarakat melalui taklimat keselamatan makanan dan mesej secara berterusan. Semua pihak perlu sedar bahawa keracunan makanan yang serius boleh membawa maut.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut:
• http://moh.spab.gov.my
• https://www.facebook.com/bkkmhq
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
20 JUN 2024
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA