USAHA MENGANTARABANGSA GAGASAN MALAYSIA MADANI, IKIM ANJUR GLOBAL MADANI FORUM 2024

Jumaat 05/07/2024

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Persatuan Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) akan menganjurkan program Forum Madani Global 2024 bertempat di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 10 hingga 11 Julai 2024.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya. Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dalam sidang media yang diadakan di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur berkata program ini diadakan antara lain bagi meneliti dan membincang strategi ke arah kebangkitan ketamadunan Islam dalam tempoh 100 tahun akan datang serta usaha ke arah pengantarabangsaan gagasan Malaysia Madani.

Majlis perasmian forum akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr. Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi pada hari kedua program, 11 Julai, jam 9.00 pagi.

Program ini juga menjadi satu pengantara bagi pengumpulan ramai pembentang dari pelbagai sektor akademik dan kepakaran dalam bersama-sama membahaskan persoalan memangkinkan Kebangkitan Peradaban Islam.

Selain WADAH, penganjuran forum ini mendapat Kerjasama daripada International Institute of Islamic Thought, Institut Darul Ehsan, Majlis Da’wah Islam Serantau Asia Timur dan Pasifik, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).

Sementara itu, media rasmi bagi penganjuran program Global Madani Forum 2024 adalah stesen TV AlHijrah (TV), Radio IKIMfm dan TV IKIM. Program ini akan disiarkan secara langsung menerusi live stream TV IKIM.

Seramai 1,000 peserta dari beberapa negara dijangkakan akan menyertai forum ini dan pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui pautan yang dihebahkan di media sosial IKIM serta tiada bayaran dikenakan bagi sebarang penyertaan.

5 JULAI 2024

UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail 
Tel: 016-2195345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-402 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my


--BERNAMA
+