YAB PERDANA MENTERI MERIAHKAN PEMENTASAN TEATER SIRIH BERTEPUK PINANG MENARI

Khamis 28/11/2024

Table

Poster Pementasan Karya Agung : Teater Sirih Bertepuk Pinang Menari 

 
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya(MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan pementasan teater “Sirih Bertepuk Pinang Menari’ bermula pada 29 & 30 November 2024 serta 1 Disember 2024 jam 8.30 malam di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Pementasan teater Sirih Bertepuk Pinang Menari akan dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan beberapa orang tetamu kenamaan yang lain.
 
Dikenali sebagai "Datuk Drama dan Cikgu Drama", SN Datuk Noordin Hassan adalah seorang tokoh drama terawal membawa masuk corak eksperimental dalam kegiatan teater di Malaysia seawal 1969. Pemikiran-pemikiran dalam drama beliau memberikan refleksi yang kuat terhadap iklim sosio politik negara. Tidak ramai dramatis tempatan yang berhasil mengolah sebuah konsep sendiri menerusi penulisan dan amalan dramanya, namun SN Datuk Noordin Hassan adalah dramatis berwibawa yang telah  membuktikannya. Justeru, program ini berhasrat mengangkat ketokohan SN Datuk Noordin Hassan, memperkenalkannya semula kepada generasi muda, memberikan tumpuan kepada  jasa beliau yang berhasil meraih anugerah Sasterawan Negara  menerusi karya-karya drama pentasnya.
 
Pementasan Sirih Bertepuk Pinang Menari yang berlangsung selama tiga (3) hari ini menghimpunkan seramai 22 orang pelakon terdiri daripada kombinasi pelakon lama dan baharu antaranya Dato' Ahmad Tarmimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi, Shasha Fairus dan lain-lain.
 
Sirih Bertepuk Pinang Menari arahan Dr Marlenny Deenerwan ini, mengisahkan mengenai Sultan Idris Bistari belayar ke luar negeri dan menyerahkan kuasa pemerintahan Indera Mahkota kepada anakandanya Putera Zahiruddin Shah. Sebaik baginda Sultan berangkat, Zahiruddin Shah terus memecat Memanda Wazir atas alasan beliau telah tua dan perlu berehat. Baginda kemudiannya melantik Wazir yang baru. Sultan Idris Bistari sampai ke negeri Langkapura yang diperintah oleh Ratu Salbiah yang kematian suami  akibat dibunuh oleh lanun yang menyerang negeri itu kerana kaya dengan emas. Sementara itu, Zahiruddin Shah telah merancang untuk meminang Puteri Kamaliah, anak Ratu Salbiah. Sekiranya ditolak pula, kerajaan negeri Langkapura hendaklah menghadiahkan kepada baginda ‘Sirih Bertepuk Pinang Menari’. Ratu Salbiah bercadang mahu menolak peminangan itu tetapi tidak tahu di mana hendak mendapatkan sirih bertepuk pinang menari itu. Sebenarnya Zahiruddin Shah juga tidak mengetahui apakah makna Sirih Bertepuk Pinang Menari itu. Baginda hanya memetik saja kata-kata daripada ayahandanya sebelum baginda belayar dahulu.
 
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan pementasan Tetaer Sirih Bertepuk Pinang Menari pada 29 November hingga 1 Disember 2024. Maklumat dan keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya

Dikeluarkan oleh:
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara WP Kuala Lumpur (JKKN WPKL)
Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara WP Kuala Lumpur
Jalan Tun HS Lee
50000 Kuala Lumpur
Tel: 03-20726431
E-mel: wpkl@jkkn.gov.my 
 
Platform Media Sosial Rasmi JKKN WPKL:
Facebook:  Jkkn WP Kuala Lumpur dan JKKN WPKL
Instagram: jkkn_wpkualalumpur
TikTok: jkknwpkl 

SUMBER : Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN)
Persatuan Solidariti Seni Budaya Warisan


UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Nurhidayah Binti Zakaria
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (Ibu Pejabat)
Tel: 019-559 6404 

--BERNAMA
 
+