PUTRA BUSINESS SCHOOL LAHIRKAN GRADUAN CEMERLANG BERLANDASKAN TADBIR URUS INSAN DI MAJLIS KONVOKESYEN 2024

Isnin 09/12/2024

Table
Canselor Putra Business School(PBS), Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Majlis Konvokesyen PBS 2024. 
 
SERDANG, 9 Dis (Bernama) -- Majlis Konvokesyen 2024 Putra Business School (PBS) telah berjaya dilaksanakan dengan penuh gemilang. Seramai 204 graduan daripada pelbagai program,iaitu Doktor Falsafah (PhD), Sarjana Sains(MSc), Sarjana Pengurusan Perniagaan MBA dan Postgraduate Certificate in Business Administration  telah dianugerahkan ijazah masing-masing oleh Canselor, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM).

YM Dato’ Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail, Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Putra Business School, dan Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman, FASc, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif PBS turut hadir menjayakan majlis tersebut.

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir menzahirkan rasa bangga Baginda terhadap graduan PBS. “Pencapaian ini merupakan pengiktirafan kepada seluruh komuniti Putra Business School termasuklah rakan strategik industri dan alumni.

“Program MBA Putra Business School sekali lagi dinobatkan sebagai program MBA nombor 1 di Malaysia dan berada di kedudukan ke-23 di Asia oleh QS Global MBA Rankings 2025. Pencapaian ini membuktikan graduan PBS yang versatil terutamanya dari segi kebolehpasaran, keusahawanan, dan mempunyai ciri kepimpinan yang hebat.,” ujar Prof. Dr. Azmawani dalam ucapannya.

Beliau turut berkongsi antara faktor kejayaan termasuklah sistem pengajaran dan pembelajaran di PBS yang mendapat pengiktirafan dari badan akreditasi luar negara iaitu The Association to Advance Collegiate Schools of Business dan THE ALLIANCE ON BUSINESS EDUCATION AND SCHOLARSHIP FOR TOMORROW a 21st century organization, serta disokong oleh Chartered Management Institute, UK; Institute of Marketing Malaysia; Malaysian Institute of Chartered Secretaries and Administrators; Financial Planning Association of Malaysia; Malaysian Institute of Human Resource Management; dan International Supply Chain Education Alliance Malaysia yang merupakan institusi-institusi profesional yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Malah para graduan telah dipupuk untuk memenuhi keperluan industri yang semakin mencabar.

Antara acara kemuncak adalah penyampaian anugerah kepada graduan cemerlang Kelas 2024. Kategori-kategori anugerah termasuklah President’s Award, Human Governance Award, Graduate-on-Time Award, Gold Award, Silver Award dan PBS Partners’ Awards.

“Pengalaman sepanjang pengajian di PBS bukan sahaja telah memperkayakan perjalanan akademik namun turut membentuk keperibadian kami supaya lebih bersedia menghadapi cabaran dan berjaya dalam karier.” kata Suphasan Boonratana, Wakil Graduan 2024 dan bekas Presiden Putra Student Association. “Marilah kita berusaha untuk bawa impak positif dalam bidang masing-masing dan komuniti kita.”

Majlis ini turut menyaksikan pelancaran logo baharu PBS oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir. “Ianya adalah simbol perkembangan, transformasi, dan keunggulan yang menjadi identiti institusi ini. Logo baharu ini bukan sahaja melambangkan imej unik kita tetapi juga pertalian erat antara PBS dengan UPM. Saya berharap PBS akan terus berjaya dalam melahirkan graduan cemerlang pada masa akan datang.”

SUMBER: Putra Business School (PBS) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Ms Siti Badarny Hassan
Tel: 019-2194287
Emel: badarny@putrabs.edu.my

--BERNAMA 
+