MENTERI KOMUNIKASI MENYEMPURNAKAN MAJLIS PENUTUP PROGRAM JELAJAH HAWANA 2024 BERSAMA SISWA

Khamis 12/12/2024

KUALA TERENGGANU, 12 Dis (Bernama) -- Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa akan melabuhkan tirainya hari ini di Zon Timur. Pada satu majlis yang diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini, Menteri Komunikasi YB Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan berupa satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada UniSZA, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
 
Lebih 250 pelajar dan pensyarah hadir dalam program yang diadakan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.
 
Program yang bermula di Universiti Sarawak Malaysia (UNIMAS) pada Mei lalu merangkumi enam zon iaitu Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Selatan dan Timur.
 
UniSZA menjadi tuan rumah bagi penyampaian sumbangan kali ini.
 
Siri ceramah merangkumi topik mobile journalism (MoJo), Semakan Fakta oleh Editor dan Wartawan Kanan BERNAMA dan ceramah Keselamatan Dalam Talian Klik Dengan Bijak oleh Wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut diadakan.
 
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024, YBhg. Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Naib Canselor UniSZA, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Fadzli Adam dan Ketua Pengarang BERNAMA merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024, YBrs. Encik Arul Rajoo Durar Raj.
 
Pada majlis penutup hari ini, YB Fahmi turut menjawab pelbagai soalan yang dilontarkan oleh siswa yang hadir ketika sesi dialog bersama beliau.
 
Penganjuran Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa tahun ini berjaya menarik kira-kira 2,000 pelajar dan pensyarah daripada 16 buah Universiti Awam (UA).
 
Jelajah HAWANA 2024   julung kali diadakan sempena sambutan HAWANA 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan BERNAMA sebagai agensi pelaksana.
 
Disediakan oleh:
Urus setia Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa

SUMBER: Urusetia Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : PUAN ZARIA BINTI MOHD NASRI
Sekretariat HAWANA
Tel : +60 19-255 0841

--BERNAMA

+