PERANCANGAN AMERIKA SYARIKAT UNTUK PENGAMBILALIHAN GAZA SERTA PEMINDAHAN RAKYAT PALESTIN KE MESIR DAN JORDAN

Jumaat 07/02/2025

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyokong penuh pendirian YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia untuk mempertahankan hak rakyat Palestin di bumi Gaza bersama-sama dengan pemimpin dunia Islam seperti Arab Saudi, Mesir, Jordan dan sebagainya.
 
IKIM juga mengecam kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menzahirkan hasrat untuk mengambil alih Gaza dan menempatkan semula penduduk Palestin di Mesir serta Jordan. Cadangan tersebut bukan sahaja melanggar hak asasi rakyat Palestin tetapi juga mengancam kestabilan serantau serta undang-undang antarabangsa.
 
Kenyataan Presiden Amerika Syarikat itu menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Meskipun cadangan berkenaan belum menjadi dasar formal, ia mencerminkan pendekatan Trump yang cenderung memihak kepada Israel, sebagaimana dalam pelan “Deal of the Century” yang diumumkan pentadbirannya pada tahun 2020. Pelan ini antara lain mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan membenarkan Israel mengekalkan penempatan haram di Tebing Barat.
 
Kenyataan Presiden Amerika Syarikat itu jelas mencerminkan pemikiran imperialistik yang mengabaikan penderitaan rakyat Palestin serta usaha komuniti global dalam mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.
 
Dari segi undang-undang antarabangsa, hasrat untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan penduduk Palestin bercanggah dengan beberapa prinsip asas. Pertama, hak penentuan masa depan sendiri sebagaimana ditegaskan oleh Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kedua, larangan pemindahan secara paksa penduduk daripada wilayah yang didiami sebagaimana ditekankan dalam Konvensyen Geneva 1949.

Gaza merupakan sebahagian daripada Palestin dan sebarang usaha untuk merampasnya merupakan pelanggaran terhadap hak mutlak rakyat Palestin. Meskipun Gaza berada di bawah kepungan Israel, ia hakikatnya bukan wilayah yang sah untuk diambil alih oleh mana-mana negara tanpa persetujuan rakyatnya.
 
Cadangan ini juga membawa implikasi besar terhadap hak asasi manusia dan situasi kemanusiaan di rantau tersebut. Pelaksanaan cadangan ini bermaksud pembersihan etnik atas rakyat Palestin dilakukan secara sistematik. Sejak tragedi Nakba pada tahun 1948, rakyat Palestin telah menjadi pelarian di pelbagai buah negara. Pemindahan paksa ini akan menambah jumlah pelarian yang telah sedia besar, iaitu hampir 7 juta orang dan memburukkan lagi krisis pelarian di Timur Tengah.
 
Kepimpinan Jordan dan Mesir bertegas menolak cadangan ini antara lain disebabkan ia menghapuskan peluang rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air sendiri selain untuk mengelakkan beban ekonomi serta tekanan sosial akibat perpindahan besar-besaran penduduk Palestin.
 
Sejarah membuktikan bahawa campur tangan Amerika Syarikat atas negara lain seperti Iraq, Afghanistan dan Libya sebelum ini, bukan sahaja mengorbankan jumlah nyawa yang besar tetapi juga membawa kemusnahan dalam segenap aspek serta mengundang lebih banyak penderitaan kepada rakyat.
 
IKIM menyeru masyarakat antarabangsa, termasuk negara-negara Islam, gerakan masyarakat sivil, dan organisasi hak asasi manusia untuk menolak sepenuhnya cadangan ini serta meningkatkan usaha bagi memastikan keadilan dan kebebasan untuk rakyat Palestin.
 
IKIM juga menegaskan bahawa hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mendapatkan hak serta kedaulatan mereka yang sah tidak boleh dikompromi. Oleh itu, segala usaha untuk menghapuskan hak mereka melalui paksaan, penindasan, atau pemindahan paksa mesti ditolak dengan sekeras-kerasnya.
 
Sebagai institusi yang memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan sejagat, IKIM berdiri teguh bersama-sama dengan rakyat Palestin serta seluruh masyarakat dunia yang mendukung hak kemanusiaan dan menentang sebarang bentuk penjajahan dan penindasan. 

Sekian, terima kasih,
 
Prof Madya Dato’ Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
 
7 Februari 2025 bersamaan 8 Syaaban 1446H

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my

Nama En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA
+