Isnin 10/02/2025
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius isu keselamatan dan kebersihan di semua premis makanan termasuk yang beroperasi di tapak pesta/ekspo makanan walaupun ia bersifat sementara.
KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) ingin menegaskan bahawa semua pengusaha dan pengendali makanan di mana-mana premis makanan termasuk gerai-gerai jualan makanan dan minuman di tapak pesta / ekspo makanan melibatkan pengendali makanan warganegara atau bukan warganegara wajib mematuhi peruntukan mengenai kebersihan dan kewajipan pengendali makanan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.
Semua pengendali makanan wajib menghadiri Latihan Pengendali Makanan (LPM) di Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) yang diiktiraf oleh KKM dan mendapatkan vaksinasi anti tifoid. Dalam hal ini, penganjur, pemilik atau penyewa gerai-gerai jualan makanan dan minuman tapak pesta/ekspo makanan turut bertanggungjawab untuk memastikan setiap pengendali makanan telah mematuhi keperluan perundangan ini.
Di samping itu, pihak penganjur pesta/ ekspo makanan bersama penyewa gerai-gerai jualan makanan dan minuman wajib untuk mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan di bawah PPKM 2009. Ia merangkumi kewajipan dan tanggungjawab yang perlu dipatuhi oleh pemilik premis dan pengendali makanan seperti kebersihan diri pengendali makanan, amalan pengendali makanan yang baik, penggunaan peralatan perkakasan yang sesuai, penyimpanan, penyediaan, pembungkusan dan penghidangan makanan yang tidak terdedah kepada pencemaran serta pelbagai lagi.
Tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi keperluan perundangan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada adalah penutupan premis tidak melebihi tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan pengeluaran notis kompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. KKM dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus menjalankan pemantauan di tapak-tapak pesta/eskpo makanan seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan ini dan keselamatan makanan sentiasa terjamin.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan yang berlaku, pengguna juga boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut:
• http://moh.spab.gov.my
• https://www.facebook.com/bkkmhq
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
7 FEBRUARI 2025
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA