Isnin 10/02/2025
(Dari kiri) Mohd Sharizan Bin Mansor, Pengarah Bahagian Institusi Pasaran, FAMA; YBRS. Encik Shahrizan Bin Sudiman, Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan & Operasi), FAMA, Farhan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PayNet
Transformasi Digital untuk Hasil Segar
KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), telah melancarkan mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia, menandakan titik penting dalam perkembangan peruncitan automatik.
Inisiatif ini menyediakan buah-buahan segar serta barangan keperluan harian — termasuk kicap, bawang putih, makanan dalam tin, dan banyak lagi — secara terus kepada pengguna dengan kemudahan membeli tanpa tunai, tanpa sentuh, dan pada bila-bila masa.
Mesin layan diri kini semakin popular di Malaysia ekoran peningkatan pembayaran tanpa tunai serta permintaan terhadap akses kepada kedai runcit pada bila-bila masa.
Menurut laporan industri, permintaan kepada mesin layan diri kini tidak lagi terhad pada makanan ringan dan minuman, sebaliknya sekarang meliputi suplemen kesihatan, produk penjagaan kulit, dan hasil segar. Ini mencerminkan peningkatan kecenderungan pengguna yang mengutamakan pengalaman pembelian yang mudah, automatik, dan bebas sentuhan, terutamanya di tempat-tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah, lapangan terbang, dan hospital.
"Pengguna hari ini mengutamakan kemudahan, dan mesin layan diri mengubah cara kita mendapatkan makanan dan barangan runcit. Dengan melancarkan mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia, kami manyambut baik trend global ini dan pada masa sama, mengintegrasikan pembayaran digital dan automatik untuk mengubah cara jualan runcit bagi barangan segar,” kata Encik Firdaus Ghani, Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan, PayNet.
Inovasi dalam Peruncitan Digital dengan DuitNow QR
Bukti konsep (PoC) ini membolehkan FAMA mengkaji tabiat pengguna, menilai kecekapan operasi teknologi layan diri bagi barang runcit segar, serta meneroka potensinya untuk masa akan datang.
Mesin layan diri beroperasi sepenuhnya tanpa tunai, menerima pembayaran melalui DuitNow QR dan kaedah pembayaran digital lain, memastikan proses transaksi yang lancar dan selamat untuk pengguna.
Inisiatif ini selari dengan komitmen PayNet dan FAMA dalam mendigitasikan sektor pertanian dan peruncitan. Ia juga membuktikan bagaimana mesin layan diri runcit akan lebih memudahkan pengguna memperolehi keperluan mereka, mengurangkan kos operasi, dan memodenkan cara pengguna membeli hasil segar.
Perancangan Masa Depan & Pelaksanaan Seluruh Negara
Sekiranya inisiatif ini berjaya, FAMA merancang untuk meluaskannya dengan menambah mesin layan diri di lokasi-lokasi strategik khususnya di kawasan yang mempunyai akses terhad kepada hasil segar. Demi memastikan kecekapan dan kemampanannya, Agrobazar yang telah dikenalpasti akan menguruskan penambahan bekalan dan memantau mesin untuk memastikan hasil segar dan barangan runcit asas sentiasa tersedia.
"Mesin layan diri memainkan peranan penting untuk meluaskan akses pasaran dan memodenkan perniagaan barangan runcit. Dengan teknologi ini, usahawan tani boleh menjual hasil mereka secara terus kepada pengguna tanpa bergantung pada saluran runcit tradisional. Ini akan meningkatkan kecekapan dan kemampanan dalam ekosistem pemasaran pertanian,” kata Encik Shahrizan Bin Sudiman, Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Keterjaminan Makanan & Operasi).
Dengan meningkatkan permintaan pengguna untuk penyelesaian runcit tanpa sentuh 24/7, PayNet dan FAMA meneraju perubahan pengalaman membeli-belah barangan runcit di Malaysia.
Mengenai PayNet
Payments Network Malaysia (PayNet) ialah rangkaian pembayaran nasional Malaysia dengan misi untuk mempercepatkan aliran pembayaran negara dengan menjadikan infrastruktur pembayaran digital lebih mudah diakses, meluas, dan selamat. Rangkaian pembayaran runcit kami yang komprehensif—termasuk DuitNow (QR dan Transfer), JomPAY (Pembayaran Bil), FPX (Atas Talian), MyDebit (Debit Domestik), MEPS dan IBG (Interbank GIRO)—menyediakan liputan yang meluas di seluruh negara, membentuk sebahagian daripada teras kehidupan harian di Malaysia.
Selain itu, rangkaian pembayaran runcit QR masa nyata PayNet, DuitNow, boleh beroperasi secara bersama dengan skim domestik di Singapura, Thailand, dan Indonesia, memudahkan transaksi rentas sempadan yang lancar dengan negara-negara ini. PayNet komited untuk mempromosikan ekosistem pembayaran yang selamat, cekap, dan inovatif di Malaysia serta bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan baharu yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang sentiasa berkembang. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.paynet.my.
Mengenai FAMA
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Federal Agricultural Marketing Authority atau FAMA) ditubuhkan pada 30 September 1965 di bawah Akta 141 merupakan sebuah agensi pemasaran di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. FAMA bertanggungjawab dalam pemasaran produk agromakanan seperti sayur–sayuran, buah–buahan dan bunga-bungaan serta produk–produk industri makanan dan asas tani. Bagi memacu sektor pemasaran domestik dan antarabangsa, FAMA berperanan dalam memperluaskan saiz pasaran produk agromakanan dan meningkatkan pendapatan pengeluar. FAMA juga berperanan dalam memastikan produk pertanian dan industri makanan tersedia dan boleh diperolehi pada harga yang mampu dibayar oleh pengguna.
SUMBER: Payments Network Malaysia (PayNet)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farah Qistina
Tel: +60 16-209 5448
E-mel: Farah.Ǫistina@edelman.com
Nama: Aina Zuraini
Tel: +60 11-1169 2356
E-mel: Aina.Zuraini@edelman.com
--BERNAMA