KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan telah menjalankan saringan ke atas 368 daripada 460 orang penduduk sehingga 19 Februari 2025 sebagai langkah dalam mempergiatkan pengesanan kes kusta di Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Ini adalah sebahagian daripada usaha mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan sejak bulan Julai 2024. Sehingga kini, sebanyak 9 kes disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut regim garis panduan yang telah ditetapkan.
Salah seorang daripada pesakit yang berusia 18 tahun dari Kampung Chergun telah meninggal pada 17 Februari lalu. Sebelum itu, pesakit telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) setelah mengalami gejala demam, sakit perut, muntah dan diberi rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Dalaman HTAN serta khidmat konsultasi dari pihak Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi.
Ahli keluarga pesakit membawa pesakit pulang ke rumah pada 16 Februari 2025, dan telah meninggal dunia keesokan harinya.
Aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan. Mana-mana individu yang mempunyai gejala seperti penyakit kusta perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan bahawa situasi kusta di Kuala Pilah adalah terkawal dan pesakit kusta juga tidak perlu lagi diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.
Justeru, KKM ingin menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan semasa aktiviti pengesanan kes dijalankan. KKM juga akan terus komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
21 FEBRUARI 2025
BERKENAAN KUSTA
Penyakit kusta yang turut dikenali sebagai penyakit Hansen atau leprosi ialah sejenis penyakit berjangkit kronik yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium Leprae yang menyerang kulit, membran mukosa dan saraf periferal. Bakteria ini disebarkan melalui titisan cecair yang tersebar ke udara daripada pesakit kepada kontak rapat yang terdedah dalam tempoh yang lama. Purata tempoh inkubasi jangkitan adalah panjang dan boleh mencecah sehingga 30 tahun.
Gejala dan tanda jangkitan kusta adalah seperti tompok-tompok kulit yang pucat atau kemerahan yang tidak gatal, kurang atau hilang deria sentuh, dan tidak berpeluh. Pesakit juga boleh mendapat penebalan kulit terutama di bahagian cuping telinga dan kulit muka, serta keguguran bulu kening. Individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan kusta perlu menjalani ujian torehan kulit (slit skin smear) atau biopsi kulit bagi pengesahan diagnosa.
Penyakit ini boleh dirawat dengan pengambilan harian Multi Drug Therapy (MDT) untuk tempoh 6 hingga 18 bulan. Namun jika lewat atau tidak mendapatkan rawatan, pesakit boleh mendapat komplikasi seperti buta, kelemahan dan kecacatan kekal di otot kaki dan tangan.
Malaysia telah mencapai sasaran eliminasi kusta sebagai beban kesihatan awam pada tahun 1994 dengan kadar prevalen 0.9 kes bagi setiap 10,000 penduduk.
Namun begitu, bagi memutuskan sepenuhnya transmisi jangkitan kusta, WHO kini menetapkan sasaran baharu iaitu sifar kes kusta baharu tempatan menjelang tahun 2030.
PERKEMBANGAN DI MALAYSIA
Pada tahun 2024, bilangan kes kusta yang dilaporkan adalah sebanyak 292 kes, peningkatan 36 kes (14%) berbanding 256 kes yang dilaporkan pada tahun 2023. Daripada 292 kes yang dilaporkan, 192 kes (66%) adalah kes baharu tempatan.
Namun peningkatan ini adalah hasil positif daripada pengukuhan inisiatif mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan agar sebarang kes dikesan awal dan diberikan rawatan segera bagi mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal.
Penekanan terhadap pengesanan kes secara aktif (active case detection) dalam kalangan golongan berisiko dan di lokaliti endemik merupakan fokus utama program kawalan kusta kebangsaan. Pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat mengawal penyakit ini daripada terus merebak, manakala rawatan awal dapat mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal. Pemberian rawatan profilaksis ‘Single Dose Rifampicin’ kepada kontak rapat dan komuniti berisiko juga telah dilaksanakan bermula tahun 2023 sebagai langkah pencegahan.
KEPERLUAN UNTUK MENINGKATKAN KESEDARAN
Hari Kusta Sedunia yang disambut pada Ahad terakhir bulan Januari setiap tahun. Sambutan pada 26 Januari tahun ini berlangsung dengan tema “Beat Leprosy, End Stigma, and Advocate for Mental Well-Being” atau “Hentikan Kusta, Hapuskan Stigma dan Tingkatkan Kesejahteraan Mental”.
Sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa penyakit ini masih wujud dan boleh menjangkiti mereka yang berisiko. Tema kali ini menekankan usaha untuk mengawal dan menghentikan penularan penyakit kusta, menghapuskan stigma yang dihadapi oleh pesakit dan individu yang terkesan, serta meningkatkan sokongan kesihatan mental mereka.
KKM komited dalam usaha untuk mengurangkan kesengsaraan dan beban penyakit kusta melalui pengesanan dan rawatan awal sehingga sempurna rawatan. Pesakit dan individu yang terkesan dengan penyakit kusta perlu diberikan sokongan secara emosi dan persekitaran yang positif supaya kualiti hidup mereka tidak terjejas. Stigma dan diskriminasi perlu dihapuskan supaya sasaran sifar kes kusta baharu tempatan dapat dicapai.
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
Tel : +603-8883 3470
Faks : +603-8888 6187
--BERNAMA