Rabu 26/02/2025
Raja Shahreen (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Dato' Mohamed Shah Redza Hussein (tengah) menunjukkan dokumen perjanjian pemuliharaan sambil disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad (tiga dari kanan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang (tiga dari kiri).
KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Bina Darulaman Berhad (BDB) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi entiti pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan dan terpilih untuk berdaftar di dalam program Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) yang dibangunkan oleh Malaysia Forest Fund (MFF), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata BDB menerusi anak syarikat penuh miliknya, Darulaman Sanctuary Sdn. Bhd menjadikan Darulaman Sanctuary yang terletak di Lubuk Semilang, Langkawi sebagai sebagai model contoh untuk tujuan dan kegiatan pemuliharaan hutan bagi memastikan perlindungan kepada flora dan fauna di Malaysia.
Menurut beliau, pengiktirafan yang diterima oleh BDB tersebut telah mendapat perhatian oleh ByteDance System Sdn. Bhd. iaitu syarikat dan jenama terkemuka di dunia untuk menyumbang kepada usaha dan kegiatan pemuliharaan hutan dan perlindungan flora dan fauna di Darulaman Sanctuary.
“ByteDance System Sdn. Bhd. telah memberikan komitmen dan bersetuju memyumbang sebanyak RM 176,380.00 berserta dengan BDB Infra Sdn Bhd. (BDB Infra) iaitu anak syarikat BDB turut serta dengan mengeluarkan sumbangan sebanyak RM700,000.00 atas tujuan yang sama.
“Ini adalah merupakan satu permulaan yang positif bagi BDB untuk menggerakkan dan memulakan program yang dirancangan di bawah FCC dan dengan penglibatan dan kerjasama yang terjalin dengan syarikat besar seperti ByteDance System Sdn. Bhd. diharapkan akan meningkatkan lagi kredibiliti BDB sekaligus dapat mencapai sasaran sumbangan dana sebanyak RM10 juta pada masa hadapan.
“Perkongsian dengan syarikat korporat dan swasta sebagai penderma di bawah program FCC ini juga akan membolehkan BDB memperbanyakkan lagi usaha dan inisiatif ke arah usaha konservasi dan pengurusan hutan yang akan memberikan kesan jangka panjang yang baik bukan sahaja untuk Malaysia malahan dunia keseluruhannya sekaligus menjadi antara penyumbang utama kepada agenda kelestarian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pemuliharaan di antara BDB, MFF, ByteDance System Sdn. Bhd. dan BDB Infra yang turut disaksikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berlangsung di Hotel Sheraton Imperial, di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Nor Yahati Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Dato' Mohamed Shah Redza Hussein.
Tambah Raja Shahreen lagi, bagi memastikan program yang dirancangan di bawah program FCC berjalan dengan jayanya, BDB telahpun merangka pelbagai inisiatif bagi menepati kehendak dan keperluan sejajar dengan tema yang telah ditetapkan iaitu “Nurturing Nature’s Wealth: A Gift for the Generations Ahead”.
Ujar beliau, menerusi penglibatan dalam program FCC ini, Darulaman Sanctuary akan memfokuskan kepada lima komponen utama iaitu penglibatan komuniti setempat secara aktif dalam usaha pemuliharaan dan memupuk kesedaran alam semulajadi serta memberi penekanan berkenaan perubahan iklim menerusi usaha pemuliharaan hutan dan juga kepentingan pengurusan karbon dan ekosistem.
“Di samping itu juga, antara perancangan lain ialah mempromosi Pendidikan Eko-Pelancongan dengan mendidik orang ramai untuk meningkatkan lagi kesedaran bagi meminimumkan kesan pelancongan kepada alam sekitar serta meningkatkan kesedaran tentang perlindungan terhadap spesis terancam dan memelihara biodoversiti yang ada di Darulaman Sanctuary.
“Akhir sekali, BDB turut merancang untuk mewujudkan inisiatif ‘Duta Masa Hadapan’ yang bertujuan memperkasakan kanak-kanak sebagai duta alam semulajadi dengan memupuk rasa tanggungjawab di mana mereka akan bertindak sebagai pemimpin masa hadapan bagi melindungi dan memelihara ekosistem serta kepelbagaian biologi,” jelasnya.
LATAR BELAKANG BINA DARULAMAN BERHAD
Bina Darulaman Berhad (BDB) telah ditubuhkan pada 7 Februari 1995 dan telah disenaraikan di Bursa Malaysia. BDB merupakan sebuah syarikat pegangan pelaburan yang bertanggungjawab dalam pembangunan hartanah, pembinaan, kerja-kerja jalan, kuari, rekreasi dan tenaga boleh diperbaharui melalui anak-anak syarikatnya iaitu BDB Land Sdn. Bhd., Kedah Holdings Sdn. Bhd., BDB Synergy Sdn. Bhd., BDB Infra Sdn. Bhd., BDB Leisure Sdn. Bhd. dan BDB Energy Sdn. Bhd.
SUMBER: Bina Darulaman Berhad (BDB)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Fadzli Ramlan
Tel: +6017 2088609
E-mel: fadzli.ramlan@bdb.com.my
Nama: Ikhwan Hazwan Hamidun
Tel: +6019 5517225
E-mel: ikhwan@bdb.com.my
--BERNAMA