KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Berdasarkan ucapan Perdana Menteri mengenai amalan puasa baru-baru ini, kami ingin memberikan pencerahan kepada masyarakat tentang kedudukan puasa dalam Islam dan kaitannya dengan puasa dalam agama lain.
Puasa dalam IslamPuasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas umat Islam. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183, mafhumnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”Ayat ini menjelaskan bahawa puasa yang diwajibkan kepada orang yang beriman pernah disyariatkan kepada umat-umat terdahulu dan bukanlah suatu yang asing.
Puasa dalam Agama LainPuasa turut wujud dalam agama-agama lain seperti Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan Sikh. Setiap agama mempunyai cara, tujuan dan syarat-syarat tersendiri dalam melaksanakan puasa mereka seperti sempena memperingati kejadian tertentu, penebusan dosa, mengharap pengampunan dan penyucian rohani . Ini menunjukkan bahawa puasa adalah satu bentuk amalan universal, malah dalam Islam selain meningkatkan ketakwaan, puasa juga satu bentuk amalan mendisiplinkan diri, membersihkan jiwa, dan mendekatkan diri kepada Tuhan.
Beza Puasa dalam IslamWalaupun puasa diamalkan oleh pelbagai agama, apa yang membezakan puasa dalam Islam adalah syarat, rukun dan tujuannya. Puasa Ramadan dilaksanakan dengan niat ikhlas untuk mencapai ketakwaan kepada Allah SWT. Ia bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga menahan diri diri dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa atau mengurangkan pahalanya, serta digalakkan untuk meningkatkan ibadah puasa dengan amalan tambahan seperti membaca al-Quran, bersedekah, solat sunat dan kepekaan social terhadap golongan yang kurang bernasib baik.
Pencerahan kepada Masyarakat:
Ucapan Perdana Menteri baru-baru ini bertujuan untuk memberikan kefahaman bahawa puasa adalah amalan yang bukan lagi asing malah diiktiraf oleh pelbagai agama. Sebagai umat Islam, kita perlu merasakan keistimewaan ibadah puasa Ramadan yang diwajibkan agar mampu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan meningkatkan ketakwaan.
Penjelasan ini juga diharap dapat mengukuhkan hubungan harmoni antara penganut agama di Malaysia agar saling memahami persamaan dan mengetahui batas perbezaan. Menghormati kepelbagaian dan bersikap tasamuh mampu mengelakkan salah faham yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan nasional. Kami mengajak semua pihak mengambil ibrah dan hikmah dari madrasah Ramadan agar mampu menjadi medium untuk membina disiplin diri, empati dan kepekaan terhadap masyarakat sekeliling.
Ramadhan Kareem!
Sekian, terima kasih,
Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed AdilKetua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
26 Februari 2025 bersamaan 27 Syaaban 1446H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT IKIM
Nama: Puan Hajah Nik Hasnah Ismail
Tel: 016-2195345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.myNama: Encik Sharuzi Ismail
Tel: 010-402 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my--BERNAMA