150 ANUGERAH BANDAR RENDAH KARBON 2024 : MEMACU TRANSFORMASI BANDAR LESTARI DAN BERDAYA TAHAN IKLIM

Khamis 27/02/2025

Table
Sebanyak 180 Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024 termasuk 4 Anugerah Khas diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemaju, universiti, pemilik bangunan dan pihak berkepentingan. Anugerah disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad. Dalam ucapannya semasa melancarkan Majlis ini, beliau menegaskan bandar memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada penyelesaian terhadap perubahan iklim.


KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Sebanyak 150 Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024 diberikan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemaju, universiti, pemilik bangunan dan pihak berkepentingan.
 
Daripada jumlah itu, 139 pengiktirafan Diamond (Diamond Recognition) diberikan bagi pencapaian pengurangan pelepasan karbon. Manakala tujuh (7) pengiktirafan Diamond bagi kategori Reka Bentuk (Diamond Design) yang berpotensi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG) melalui pelaksanaan strategi bandar rendah karbon di peringkat reka bentuk.
 
Empat (4) Anugerah Khas turut diberikan iaitu PBT Paling Aktif, Zon Pengurangan Karbon Terbanyak, Rakan Kongsi Pengurangan Karbon Terbanyak dan Rakan Kongsi Pengurangan Karbon Terbanyak (Kategori Khas). Selain itu, 30 Sijil Provisional (Provisional Certificate) turut diberikan atas usaha pembangunan data penanda aras. Kesemua anugerah ini dinilai menerusi lima (5) elemen utama, iaitu tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan.
 
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad. Dalam ucapannya semasa melancarkan Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2024, beliau menegaskan bandar memainkan peranan penting sebagai sebahagian daripada penyelesaian terhadap perubahan iklim.
 
Ini dapat direalisasikan melalui pelaksanaan tindakan mitigasi dan adaptasi yang menekankan perancangan strategik, pengurusan sumber yang efektif serta komitmen berterusan daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha membangunkan bandar yang lebih mampan, rendah karbon dan berdaya tahan.
 
Katanya, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sentiasa komited dalam memacu transformasi bandar lestari dan berdaya tahan iklim. la selaras dengan komitmen negara mencapai sasaran pengurangan GHG sebanyak 45% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2030 dan menyokong aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih menjelang tahun 2050.
 
Pada tahun 2024, pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon telah berjaya mengurangkan pelepasan GHG sebanyak 465,000.02 tan karbon dioksida setara dan jumlah penyerapan karbon (carbon sequestration) yang dicapai adalah sebanyak 29,592.84 tan karbon dioksida.
 
Pencapaian ini bersamaan dengan penanaman 12.4 juta batang pokok atau pengurangan 107,063 buah kereta setahun di jalan raya, berdasarkan anggaran purata perjalanan tahunan masing-masing sebanyak 28,184km.
 
Sementara itu, penyertaan Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 atau Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) bagi pengiktirafan tahun 2025 kini dibuka. PBT, pemaju, universiti, pemilik bangunan dan pihak berkepentingan yang berkaitan adalah digalakkan untuk menyertai LCC2030C.
 
Hadir sama pada majlis ini ialah, Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MGTC, Saiful Adib Abd Munaff.
 
KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM (NRES)
26 FEBRUARI 2025


Sumber: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
Tel: 03-8000 8000

--BERNAMA



 

+