PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), penyedia rangkaian pembayaran nasional dan infrastruktur kewangan pusat, telah mencatat kejayaan luar biasa dengan kempen
PayNet Digital Campus 3.0 (PDC3.0) yang menghasilkan 24 juta transaksi merentasi institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
Inisiatif ini melibatkan 30 institusi, termasuk 25 universiti awam (UA) dan lima institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dan menandakan pengembangan ketara berbanding edisi sebelumnya. PayNet telah menyalurkan dana tajaan berjumlah RM1.02 juta kepada universiti-universiti yang mengambil bahagian antara bulan Ogos dan September 2024 untuk menganjurkan inisiatif pembayaran digital di kampus masing-masing.
Dalam kategori Universiti Awam (IPTA), UiTM Cawangan Perak menduduki tempat pertama dengan 66 transaksi per kapita, diikuti oleh UiTM Cawangan Sabah dan UiTM Cawangan Johor masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori Institusi Swasta (IPTS), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) muncul sebagai juara, diikuti oleh Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) sebagai pemenang tempat kedua.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) turut diiktiraf atas kempen inovatif mereka dalam mempromosikan pembayaran digital di kampus mereka. Dalam kategori IPTA, MPP dari UiTM Cawangan Johor meraih tempat pertama, manakala Universiti Teknologi Malaysia dan UiTM Cawangan Perak masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga. Bagi kategori IPTS, Universiti Teknologi PETRONAS dinobat juara, diikuti oleh Asia Pacific University dan Universiti Tunku Abdul Rahman.
Anugerah Pengiktirafan Khas diberikan kepada Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia atas pencapaian lebih satu juta transaksi sepanjang tempoh kempen. Ini menunjukkan komitmen luar biasa dalam mendorong penggunaan pembayaran digital dalam komuniti kampus mereka.
"Pertumbuhan luar biasa dalam jumlah transaksi dan penyertaan institusi mencerminkan momentum kukuh ke arah transformasi tanpa tunai dalam sektor pendidikan Malaysia," kata
Farhan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, PayNet. "Dengan mempromosikan kampus tanpa tunai, kami bukan sahaja menyediakan pelajar untuk masa depan digital tetapi juga memperkukuh keterangkuman kewangan. PayNet memperkasakan pelajar dengan kemahiran kewangan digital bagi memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang, boleh mengambil bahagian dan memanfaatkan ekonomi digital Malaysia yang berkembang pesat. Pada masa yang sama, kami mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan cekap dengan mengurangkan kebergantungan kepada transaksi tunai.”
PDC3.0 meneruskan format yang diinspirasikan daripada "Shark Tank" seperti tahun-tahun sebelumnya, di mana majlis perwakilan pelajar membentangkan kempen penggunaan pembayaran digital mereka untuk mendapatkan dana. Kempen yang berjaya kemudian dilaksanakan dari Oktober hingga Disember 2024. PDC3.0 mencatat pencapaian cemerlang, dengan institusi berprestasi tertinggi merekodkan 1.5 juta transaksi. Program ini mencapai puncak 66 transaksi per kapita, manakala kempen paling cekap berjaya menurunkan kos kepada hanya RM0.05 setiap transaksi.
Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Induk Sektor Kewangan (PISK) 2022-2026 oleh Bank Negara Malaysia, yang bertujuan mempercepat penggunaan e-pembayaran dan meningkatkan kesedaran budaya pembayaran digital. Dengan lebih satu juta pelajar di Institusi Pengajian Tinggi, program ini berfungsi sebagai pemangkin utama dalam memupuk budaya "cashless first" melalui pemerkasaan Majlis Perwakilan Pelajar.
YBrs. Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia, berucap di majlis itu dan menyatakan bahawa kejayaan inisiatif ini menggariskan peranan penting institusi pendidikan tinggi dalam memacu transformasi digital Malaysia. “Dengan memupuk budaya tanpa tunai, kita bukan sahaja memodenkan ekosistem universiti tetapi juga membekalkan pelajar dengan literasi kewangan dan kemahiran digital yang penting untuk masa depan ekonomi. Inisiatif ini sejajar dengan komitmen negara dalam mengintegrasikan teknologi ke dalam sektor pendidikan, serta Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia, yang membayangkan sebuah negara yang diperkasakan oleh transaksi digital yang lancar. Ketika PayNet dan rakan-rakan kongsinya melancarkan Digital Campus 4.0, saya menggalakkan lebih banyak universiti untuk menerima peluang ini dan mempercepat lagi kemajuan kita ke arah Malaysia tanpa tunai dan inklusif secara digital,” katanya dalam ucapan perasmiannya.
PayNet melancarkan
Digital Campus 4.0 (PDC4.0) di ‘PayNet Digital Campus 2025 Summit’. Struktur program ini mengekalkan elemen kejayaan pendahulunya, dan pendaftaran dibuka kepada institusi pengajian tinggi dengan populasi pelajar melebihi 3,000 orang.
"Pelancaran PayNet Digital Campus 4.0 menandakan fasa seterusnya dalam mempercepat transformasi digital dalam sektor pendidikan Malaysia. Dengan melengkapkan universiti dengan alat dan sokongan untuk menggalakkan penggunaan tanpa tunai, kami bukan sahaja memodenkan transaksi kampus tetapi juga membentuk generasi pemimpin yang diberdayakan secara digital. Ketika kami memperluaskan inisiatif ini, kami berharap untuk melihat lebih banyak inovasi daripada para pelajar dalam memacu evolusi Malaysia menjadi sebuah negara tanpa tunai sepenuhnya," kata
Firdaus Ghani, Pengarah Kanan, Bahagian Pendigitalan Kerajaan, PayNet.
Pengumuman pemenang PDC3.0 dan pelancaran PDC4.0 berlangsung di ‘PayNet Digital Campus 2025 Summit’ di Hotel Marriott Putrajaya. Acara ini meraikan kejayaan program, menyoroti pencapaian terdahulu serta menampilkan sesi "Pembayaran Digital Pemangkin Inovasi" bersama rakan strategik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Hospital Al Sultan Abdullah (HASA) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR). Acara ini menghimpunkan pemimpin universiti, pakar industri, dan wakil pelajar untuk membentuk masa depan pembayaran digital dalam sektor pendidikan Malaysia.
Mengenai PayNet Digital CampusPayNet Digital Campus telah dilancarkan pada tahun 2019 sebagai projek perintis antara dua universiti bagi menggalakkan pembayaran digital melalui MyDebit, FPX dan JomPAY. Sepanjang enam tahun menuju 2024, inisiatif ini telah meningkankan penggunaan transaksi tanpa tunai dengan ketara dalam sektor Pendidikan Malaysia. Kempen ini menyaksikan peningkatan sepuluh kali ganda dalam bilangan universiti yang mendaftar dan penambahan penggunaan DuitNow QR dalam kalangan pelajar.
Mengenai PayNet Payments Network Malaysia (PayNet) ialah rangkaian pembayaran nasional Malaysia dengan misi untuk mempercepatkan aliran pembayaran negara dengan menjadikan infrastruktur pembayaran digital lebih mudah diakses, meluas, dan selamat. Rangkaian pembayaran runcit kami yang komprehensif—termasuk DuitNow (QR dan Transfer), JomPAY (Pembayaran Bil), FPX (Atas Talian), MyDebit (Debit Domestik), MEPS dan IBG (Interbank GIRO)—menyediakan liputan yang meluas di seluruh negara, membentuk sebahagian daripada teras kehidupan harian di Malaysia.
Selain itu, rangkaian pembayaran runcit QR masa nyata PayNet, DuitNow, boleh beroperasi secara bersama dengan skim domestik di Singapura, Thailand, dan Indonesia, memudahkan transaksi rentas sempadan yang lancar dengan negara-negara ini. PayNet komited untuk mempromosikan ekosistem pembayaran yang selamat, cekap, dan inovatif di Malaysia serta bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan baharu yang memenuhi keperluan pengguna dan perniagaan yang sentiasa berkembang. Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.paynet.my.
SUMBER: Payments Network Malaysia (PayNet)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama Farah Qistina Zabidi
Tel: +60 16-209 5448
E-mel: Farah.Qistina@Edelman.com
Nama: Aina Zuraini
Tel: +60 11-1169 2356
E-mel: Aina.Zuraini@Edelman.com
--BERNAMA