Jumaat 28/02/2025
YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama YBhg. Datuk Dr. Radzali Hassan, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Ybrs. Encik Adila Sabri bin Muhammad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, KUSKOP ketika menyempurnakan gimik Majlis Pelancaran AFC & FIM.
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Ke arah memperkukuh ekosistem francais di rantau ASEAN, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan menghimpunkan pemain industri, pelabur, dan penggiat francais dari dalam serta luar negara di Konvensyen Francais ASEAN (AFC) dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM).
Usaha ini selari dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini. AFC akan diadakan pada 7 dan 8 Mei manakala FIM pula berlangsung mulai 8 hingga 10 Mei bertempat di Dewan 1 dan 2, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara berprestij ini dijangka menjadi platform utama dengan menampilkan sesi perkongsian strategik, pameran francais serta peluang jaringan perniagaan bagi merancakkan lagi perkembangan industri francais serantau.
Menurut YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi penganjuran ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memajukan sektor francais sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.
"Konvensyen dan pameran ini bukan sahaja mempromosikan jenama francais tempatan ke peringkat global, tetapi juga menarik pelaburan asing ke dalam negara serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia dan ASEAN," katanya.
Selain itu, pihak kementerian juga komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dalam menyokong pembangunan industri ini iaitu memperkenalkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) yang dilancarkan baru-baru ini. DFN2030 bertujuan memperkukuh ekosistem francais di Malaysia dan memperluas akses pasaran di dalam dan luar negara. Dasar ini merangkumi lima teras utama, iaitu penambahbaikan dasar dan tadbir urus, mempromosikan francais sebagai model perniagaan pilihan, meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan francais, mengoptimumkan akses kepada bantuan kewangan dan meningkatkan penembusan pasaran pada peringkat domestik dan global.
Sementara itu, Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan turut menyatakan kepentingan acara ini dalam memperkukuh daya saing francais tempatan di persada antarabangsa. "Industri francais Malaysia telah membuktikan keupayaannya untuk berkembang pesat dan bersaing di peringkat global. Melalui platform ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih banyak kolaborasi dan inovasi dalam sektor francais ASEAN," ujarnya dalam satu sidang media AFC dan FIM di Kuala Lumpur.
Menerusi tema tahun ini iaitu “Membentuk Masa Depan Francais di ASEAN: Kemampanan, Digitalisasi, dan Pertumbuhan”, AFC akan menumpukan kepada aspek kemampanan francais, digitalisasi, dan pertumbuhan industri. Sasaran utama AFC termasuk penggiat industri francais, pelesen, pelabur, wakil-wakil francais, dan pegawai kerajaan dari negara-negara ASEAN.