PENGUATKUASAAN AKTA PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI 2016 [AKTA 775]

Isnin 03/03/2025

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Bermula 1 Mac 2025, Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] yang bertujuan untuk mengawal selia perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (T&CM) di Malaysia demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan berkuatkuasa sepenuhnya.

Penguatkuasaan Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 [Akta 775] telah memasuki Fasa 3 sejak 1 Ogos 2024, dan kini tamat tempoh peralihannya pada 28 Februari 2025. Dengan itu juga, individu yang didapati melanggar peruntukan Akta 775 boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk denda dan hukuman-hukuman lain.

Terdapat tujuh (7) bidang amalan diiktiraf di bawah Akta ini iaitu:

1.       Perubatan Tradisional Melayu;
2.       Perubatan Tradisional Cina;
3.       Perubatan Tradisional India;
4.       Homeopati;
5.       Kiropraktik;
6.       Osteopati; dan
7.       Amalan Pengubatan Islam.

Semua pengamal perubatan T&CM dalam bidang amalan diiktiraf adalah wajib berdaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang ditubuhkan di bawah Akta. Ini bagi memastikan setiap pengamal memenuhi kriteria kelayakan yang diiktiraf serta mematuhi piawaian amalan mandatori yang ditetapkan.

Sejak penguatkuasaan Akta 775 secara berfasa bermula 1 Ogos 2016, Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) giat melaksanakan pelbagai inisiatif kesedaran untuk pengamal dan orang awam jua.

Hebahan juga dilakukan melalui pelbagai saluran seperti pameran, ceramah, wawancara media, dan platform media sosial, sementara lawatan pendidikan di lapangan adalah untuk memperkukuhkan hubungan langsung dengan pengamal sejak 2010. Sehingga 31 Disember 2024, seramai 40,096 pengamal telah menghadiri sesi taklimat mengenai keperluan pendaftaran dan pematuhan Akta.

Pendaftaran pengamal T&CM dalam bidang amalan diiktiraf telah bermula sejak 15 Mac 2021, namun sebuah tempoh peralihan telah diperuntukkan untuk aspek ini sehingga 28 Februari 2025. Sehingga 31 Disember 2024, 14,047 pengamal telah mendaftar di bawah Majlis T&CM.

KKM ingin menegaskan bahawa penguatkuasaan Akta 775 adalah bagi memastikan ia diamalkan secara selamat dan profesional. Dengan adanya pengawalseliaan ini, KKM dapat:

1.       Melindungi pengguna daripada risiko perkhidmatan T&CM yang tidak selamat atau tidak berkesan;
2.       Memastikan pengamal T&CM dalam bidang amalan diiktiraf menjalankan amalan berasaskan kompetensi dan standard yang ditetapkan; dan
3.       Menggalakkan pembangunan industri T&CM yang lebih berstruktur dan berintegriti.

Orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan dan rawatan T&CM dalam bidang amalan diiktiraf adalah dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan daripada pengamal T&CM yang berdaftar sahaja. 

KKM komited untuk terus memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara melalui pematuhan kepada keperluan undang-undang dan peraturan-peraturan serta memenuhi keperluan rakyat bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan adalah selamat dan beretika. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web BPTK, KKM di www.moh.gov.my/tcm, di talian 03 - 2279 8100, atau melalui e-mel kepada tcm@moh.gov.my

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2025
 

SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Timothy Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Emel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA 
+