NASIHAT KESELAMATAN MAKANAN SEMPENA BULAN RAMADAN AL-MUBARAK

Isnin 03/03/2025

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Selaras dengan Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan di bawahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) akan terus menjalankan pemantauan ke atas makanan yang dijual sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan, termasuk di bazar-bazar Ramadan.

Aktiviti pemantauan yang dijalankan di sepanjang rantaian makanan ini telah dimulakan sejak sebelum Ramadan meliputi pemeriksaan ke atas sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan, dan para peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

Selain itu, pemeriksaan turut diperluaskan ke hotel yang menyediakan buffet Ramadan, premis pembekal bahan mentah, serta premis penyediaan ais bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam penyediaan makanan mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan. 

Pada masa yang sama, KKM akan memperhebatkan kempen kesedaran melalui pendidikan kesihatan yang lebih meluas dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi termasuk media sosial, televisyen, dan radio.

Dalam hal ini, orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan dengan mengamalkan petua keselamatan makanan seperti berikut:
 
• Amalkan ‘Lihat, Hidu, Rasa’ sebelum makan; 
• Lebihan makanan atau makanan yang dibeli untuk sahur disimpan segera dalam peti sejuk; 
• Makanan yang disimpan untuk bersahur perlu dipanaskan dengan sempurna sebelum dimakan; 
• Pastikan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak melebihi 3 hari; dan 
• Semasa membeli juadah di bazar Ramadan, amalkan ‘Perhati dan Pilih’ dengan memilih gerai yang bersih dan pengendali yang mengamalkan amalan pengendalian makanan yang baik.

Petua keselamatan makanan seperti di atas perlu dipraktikkan oleh orang ramai sepanjang Ramadan bagi mengelakkan insiden keracunan makanan yang boleh menjejaskan Kesihatan. 

Di samping itu, aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh peniaga makanan di bazar Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual bersih dan selamat pula adalah seperti berikut:

· Makanan tidak disediakan terlalu awal;
· Makanan hendaklah diangkut dalam kenderaan yang bersih serta tidak bercampur dengan bahan kimia bukan makanan dan barangan lain yang tidak berkaitan;
· Makanan dihidangkan dalam bekas yang bersih dan bertutup;
· Sentiasa menggunakan penyepit, senduk, sudu atau sarung tangan yang bersih untuk mengendali makanan;
· Elakkan menghidang makanan secara bertindih antara satu sama lain;
· Sentiasa memakai pakaian pelindung iaitu apron dan penutup kepala yang bersih;
· Tidak memakai barang kemas, jam tangan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pencemaran ke atas makanan;
· Tidak melakukan amalan-amalan tidak baik seperti menggaru kepala, bersin atau batuk ke arah makanan;
· Membasuh tangan setiap kali selepas ke tandas dan mengendalikan benda kotor; dan
· ​Tidak menjual baki makanan yang tidak terjual pada keesokan harinya.
 
KKM juga ingin menegaskan larangan penggunaan peralatan yang bukan bertujuan untuk penyimpanan atau penyediaan makanan. Tindakan seperti menggunakan akuarium sebagai pengganti bekas air balang, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah, atau peralatan lain yang tidak sesuai boleh menyebabkan pencemaran makanan dan meningkatkan risiko kesihatan kepada pengguna.

KKM sentiasa komited dalam memastikan keselamatan makanan sepanjang Ramadan melalui pemantauan dan penguatkuasaan berterusan. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan atau melihat sendiri insiden keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) seperti berikut: 

·         http://moh.spab.gov.my
·         https://www.facebook.com/bkkmofficial

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
1 MAC 2025  


SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Timothy Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Emel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA 
+