KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Dalam era digital, media sosial telah menjadi platform utama untuk berinteraksi, berkongsi maklumat, dan menyuarakan pendapat. Namun, kebebasan ini perlu disertai dengan tanggungjawab dan kepekaan yang tinggi, terutamanya dalam hal-hal yang melibatkan sensitiviti agama dan kepercayaan.
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ingin menegaskan bahawa mempersendakan atau menghina agama lain adalah perbuatan yang dilarang di sisi Islam, tidak beretika dan boleh menjejaskan keharmonian sosial. Setiap agama mempunyai nilai dan prinsip yang dihormati oleh penganutnya. Sebagai masyarakat yang majmuk, kita perlu saling menghormati dan memahami kepelbagaian ini sebagai kekuatan yang menyatukan, bukan memecahbelahkan. IKIM menasihatkan agar:
1. Hormati Kepelbagaian AgamaSetiap individu perlu memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai agama dan budaya. Menghormati kepercayaan orang lain adalah asas kepada kehidupan yang harmoni.
2. Elakkan Kandungan ProvokatifJangan sekali-kali menggunakan media sosial untuk menyebarkan kandungan yang bersifat provokatif, menghina, atau mempersendakan agama lain. Perbuatan ini bukan sahaja menyakiti hati penganut agama berkenaan, malah boleh mencetuskan ketegangan sosial.
3. Peka dan BertanggungjawabSebelum berkongsi atau menulis sesuatu di media sosial, fikirkan kesannya terhadap orang lain. Adakah kandungan tersebut boleh menyinggung perasaan atau menjejaskan keharmonian masyarakat?
4. Amalkan Nilai ToleransiToleransi bukan sekadar sikap bertolak ansur, tetapi juga menghargai dan memahami perbezaan. Jadilah masyarakat yang peka dan prihatin terhadap sensitiviti agama dan budaya.
5. Laporkan PenyalahgunaanJika anda menemui kandungan yang menghina atau mempersendakan agama di media sosial, laporkan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau platform media sosial berkenaan.
IKIM mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama memelihara keharmonian dan keamanan negara. Marilah kita menjadikan media sosial sebagai platform yang positif, membina dan menyatukan, bukan sebaliknya. Allah berfirman, mafhumnya:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah Al-An’am, 6:108) Mari kita menjadi masyarakat yang peka, bertanggungjawab dan saling menghormati demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed AdilKetua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
5 Mac 2025 bersamaan 5 Ramadan 1446H
SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT PERHUBUNGAN KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA