CGTN: SETELAH DUA TELAH BERLALU, INISIATIF PERADABAN GLOBAL CHINA SEMAKIN RELEVAN DALAM DUNIA YANG BERGOLAK

Isnin 17/03/2025

CGTN telah menerbitkan sebuah artikel sempena ulang tahun kedua Inisiatif Peradaban Global yang diusulkan oleh Presiden China, Xi Jinping. Dalam suasana dunia masa kini yang penuh ketidakpastian, pergolakan dan perpecahan, inisiatif ini dilihat semakin relevan. Artikel tersebut mengetengahkan usaha China dalam mengamalkan inisiatif ini serta pandangan daripada pakar dan cendekiawan. Ia juga menekankan bahawa penghormatan China terhadap kepelbagaian peradaban menjadikan negara itu sebagai model yang penting dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan dunia.

BEIJING, 17 Mac (Bernama-GLOBE NEWSWIRE) -- Dua tahun lalu, Presiden China, Xi Jinping telah memperkenalkan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang menyeru semua pihak agar menghormati kepelbagaian budaya, memupuk nilai-nilai kemanusiaan sejagat, mengekalkan serta memperbaharui peradaban dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Dalam dunia hari ini yang penuh dengan ketidakpastian, pergolakan dan perpecahan, inisiatif ini menjadi semakin penting dan relevan.

Dalam menghadapi trend antiglobalisasi yang semakin meningkat, Elias Jabbour, seorang profesor di Fakulti Sains Ekonomi Universiti Negeri Rio de Janeiro menekankan kepentingan GCI yang semakin meningkat. Menurut beliau, pendekatan inklusif China terhadap kepelbagaian menjadi teladan kepada dunia. Pada masa yang menyaksikan beberapa negara mengaku sebagai "bertamadun" sedang menguatkuasakan pengusiran dan penghantaran pulang secara besar-besaran, China mengambil pendirian yang berbeza dengan menekankan sikap saling hormat-menghormati dan pertukaran budaya, kata beliau, sambil memuji GCI kerana memperjuangkan kewujudan bersama pelbagai peradaban tanpa memaksakan nilai sesebuah negara ke atas negara lain.

Membimbing dunia ke arah keamanan

Apabila Xi mencadangkan GCI dalam Dialog CPC dengan Mesyuarat Peringkat Tinggi Parti Politik Dunia pada Mac 2023, beliau memetik pepatah Cina: "Musim bunga bukanlah musim bunga jika hanya terdapat sekuntum bunga, namun seratus bunga yang mekar penuh mampu memperlihatkan keindahan musim bunga." Pepatah ini menggambarkan daya hidup kepelbagaian budaya dan keperluan untuk merangkul pelbagai peradaban dunia dalam pembinaan sebuah dunia yang harmoni.

"Negara-negara perlu berpegang pada prinsip kesaksamaan, pembelajaran bersama, dialog dan sikap inklusif antara peradaban. Pertukaran budaya perlu mengatasi jurang perbezaan, pembelajaran bersama harus mengatasi konflik dan kewujudan bersama mesti melampaui rasa keunggulan," kata Xi.

Komitmen China terhadap dialog peradaban mendapat pengiktirafan pada bulan Jun apabila PBB meluluskan resolusi yang diusulkan oleh China, dengan menetapkan 10 Jun sebagai Hari Antarabangsa untuk Dialog Antara Peradaban. Wakil China ke PBB, Fu Cong, menyatakan bahawa inisiatif ini bertujuan untuk mengembalikan tumpuan global kepada dialog antara budaya pada "saat genting."

"Di seluruh dunia, anda melihat banyak pertikaian, banyak konflik malah peperangan. Selain itu, terdapat lonjakan sikap tidak bertoleransi, ekstremisme dan juga populisme. Semua ini berpunca daripada perbezaan atau kurangnya persefahaman antara budaya dan agama," kata Fu.

Tinjauan CGTN terhadap 15,574 orang merentasi 40 negara dan rantau yang diterbitkan pada bulan Mac 2023 mendapati bahawa 80.3 peratus responden melihat kepelbagaian peradaban sebagai sesuatu yang bermanfaat bagi pembangunan global.Selain itu, 85 peratus responden percaya dalam pembinaan masa depan bersama melalui toleransi dan kerjasama, manakala 89.6 peratus responden menyeru agar lebih banyak dialog diadakan serta sikap yang lebih terbuka, dan angka ini meningkat kepada 93.7 peratus di negara membangun.

Tindakan lebih baik daripada kata-kata kosong

China bukan sekadar pendukung, tetapi turut menjadi pengamal sejati.

Pada bulan November 2023, Beijing menganjurkan Persidangan Klasik Dunia yang pertama, yang dihadiri oleh lebih 400 pakar bagi membincangkan peradaban klasik. Persidangan ini menjadi platform untuk menggalakkan negara-negara mengambil hikmah daripada tradisi kuno, sekali gus memupuk pemahaman bersama yang lebih mendalam. Sejak itu, China telah menganjurkan forum antarabangsa seperti Forum Nishan bagi Peradaban Dunia dan Persidangan Bahasa Cina Antarabangsa yang menyatukan ahli akademik, pembuat dasar dan pakar budaya untuk meneroka nilai-nilai yang dikongsi bersama.

Pemeliharaan budaya merupakan salah satu aspek utama komitmen China terhadap inisiatif tersebut. Beijing Central Axis, sebuah kompleks seni bina bersejarah sejak Dinasti Yuan (1271-1368) telah diiktiraf secara rasmi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2024. Pada tahun yang sama, Festival Musim Bunga Cina telah dimasukkan dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan UNESCO. Pencapaian ini menekankan dedikasi China untuk melindungi dan mempromosikan warisan budayanya yang kaya di pentas global.

China aktif meneroka dan mempromosikan elemen budaya tradisionalnya, dan menjadikan warisan tersebut lebih menarik di peringkat global. China juga terus berinovasi dalam memperkenalkan keindahan budaya tradisional China kepada dunia. Antaranya, melalui filem animasi Ne Zha 2 yang berjaya mendominasi box office di seluruh dunia bagi kategori filem animasi, permainan video Black Myth: Wukong yang meraih populariti di peringkat dunia serta drama tarian Wing Chun yang mendapat sambutan hangat di pasaran luar negara.

China turut berusaha memperkukuhkan interaksi dalam kalangan penduduk dunia. Sepanjang tahun lalu, kumpulan pelajar dari bandar seperti Dallas, Houston, New York dan San Francisco telah mengunjungi China untuk melawat universiti, syarikat dan lokasi ikonik, berikutan janji Presiden Xi pada tahun 2023 untuk menjemput 50,000 pelajar dalam tempoh lima tahun. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China telah menjadi penganjur bersama "Tahun Pelancongan" dengan pelbagai negara untuk menggalakkan pertukaran budaya. Menjelang akhir 2024, China telah memperluaskan dasar kemasukan tanpa visa kepada 29 negara, termasuk Perancis, Jerman dan Itali, bagi memudahkan hubungan global yang lebih erat.

Untuk maklumat lanjut, sila klik:
https://news.cgtn.com/news/2025-03-15/Two-years-on-China-s-GCI-becomes-more-vital-in-turbulent-times-1BL2FHhmmaY/p.html

E-mel: cgtn@cgtn.com

SUMBER: China Global Television Network Corporation

--BERNAMA
+