KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengecam keras serangan terkini Israel atas Gaza meskipun gencatan senjata berkuat kuasa pada 19 Januari lalu. Pencabulan gencatan senjata hampir setiap hari oleh rejim Zionis, sekatan bantuan kemanusiaan, dan penutupan lintasan sempadan telah memburukkan penderitaan 2.4 juta rakyat Gaza yang diancam kebuluran, krisis kesihatan, dan kezaliman berterusan sejak 7 Oktober 2023.
Serangan terbaharu ini sekali lagi mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan yang besar dalam tempoh yang singkat. Begitu juga kemusnahan infrastruktur kritikal dan penderitaan yang tidak terkira bagi rakyat Gaza, terutama wanita, warga emas, serta kanak-kanak. Serangan atas populasi yang berada dalam keadaan serba kekurangan ini bukan sahaja menunjukkan kebaculan rejim Zionis tetapi juga jenayah perang yang jelas melanggar Konvensyen Geneva. Malangnya, masyarakat antarabangsa terus berdiam diri, sementara negara-negara Islam gagal bertindak tegas bagi menghentikan kekejaman ini.
Kelemahan yang ditunjukkan oleh negara-negara Islam dalam menghadapi kezaliman Israel amat mendukacitakan. Meskipun wujud kecaman lisan dan resolusi dalam pelbagai forum dan mesyuarat pada peringkat antarabangsa, namun tiada tindakan konkrit bagi menghalang Israel meneruskan kezaliman. Ketiadaan tindakan kolektif yang berkesan menunjukkan betapa perlunya kepemimpinan dunia Islam yang lebih bersatu dan strategik dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.
IKIM menyokong penuh seruan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia agar masyarakat dunia menuntut rejim Zionis bertanggungjawab atas kezaliman mereka dan menggesa keganasan yang berlanjutan ini dihentikan segera. IKIM juga menyokong gesaan YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) agar semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk melaksanakan Solat Hajat secara berterusan dan mendoakan keselamatan rakyat Palestin sepanjang baki Ramadan.
IKIM menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk:
- Menyediakan usul tergempar kepada PBB bagi menghentikan genosid dan menghantar tentera pengaman serta bantuan kemanusiaan segera, iaitu berasaskan Resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 377 (A) yang lazimnya dirujuk sebagai resolusi “Bersatu untuk Keamanan”.
- Menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan hak asasi manusia agar segera bertindak menghentikan genosid ke atas rakyat Gaza.
- Menggunakan semua mekanisme diplomasi, ekonomi, dan undang-undang untuk menekan Israel agar menghentikan kezaliman terhadap rakyat Gaza.
IKIM menegaskan bahawa kezaliman ini mesti dihentikan dan keadilan untuk rakyat Palestin wajib diperjuangkan tanpa kompromi. Kegagalan bertindak hanya akan mengukuhkan budaya kekebalan undang-undang yang membolehkan kezaliman terhadap rakyat Palestin berterusan tanpa sebarang pertanggungjawaban.
Sekian, terima kasih.
Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
19 MAC 2025 | 18 RAMADAN 1446H
SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel: 016-219 5345
E-mel: nikhasnah@ikim.gov.my
Nama: En. Sharuzi bin Ismail
Tel: 010-4026 6200
E-mel: jie@ikim.gov.my
--BERNAMA