
(Kiri ke kanan)Dato’ Ahmad Kabeer bin Mohd Nagoor, Pemegang Saham, SensoremTek Sdn Bhd; Mr. Kathirgamasundaram Sooriakumar, Rakan Perniagaan SME; Dato’ Norazharuddin bin Abu Talib, Pengarah, SensoremTek Sdn Bhd; Dr. Saat Shukri Embong, Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, MIMOS Berhad, and En. Abdul Rashdee bin Abdul Kadir, Ketua Pegawai Operasi, MIMOS Berhad memeterai perjanjian kerjasama strategik bagi memperkasa industri semikonduktor negara.
BUKIT JALIL, 20 Mac (Bernama) -- Sebagai langkah bersejarah dalam memacu inovasi dan kebergantungan teknologi kendiri, MIMOS Berhad dan SensoremTek Sdn Bhd (ST) telah memeterai perjanjian kerjasama strategik bagi memperkasa industri semikonduktor negara melalui pengeluaran wafer sensor mikrofon MEMS (Micro-Electro-Mechanical Systems) berteknologi tinggi.
Kerjasama ini menegaskan komitmen jitu MIMOS dalam mentransformasikan Malaysia menjadi hab semikonduktor bernilai tinggi dengan memanfaatkan kepakaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta keupayaan fabrikasi wafer bertaraf dunia. SensoremTek, sebuah syarikat pemula teknologi tempatan yang inovatif, membawa teknologi khusus Sensor Mikrofon MEMS ke MIMOS, sekaligus memacu pemindahan teknologi berskala penuh, latihan serta khidmat rundingan.
Menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Berhad, Dr Saat Shukri Embong, “Kerjasama ini bukan sekadar usaha perniagaan, malah merupakan langkah berani ke arah mencapai kemandirian dalam pembuatan semikonduktor. Dengan pelaburan dalam infrastruktur fabrikasi berteknologi tinggi, MIMOS mempercepatkan keupayaan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal luar bagi teknologi MEMS yang kritikal.”
MIMOS dengan sokongan pihak berkepentingan akan menyalurkan pelaburan bagi memperkukuh peranan loji fabrikasinya sebagai pemain dalam rantaian bekalan ekosistem semikonduktor Malaysia. Komitmen ini membolehkan MIMOS meningkatkan fabrikasi bahagian belakang (back-end) dengan teknologi bahagian hadapan (front-end) yang dipacu oleh SensoremTek melalui pemindahan teknologi, pemindahan ilmu dan amalan terbaik industri yang lancar.
Dr Saat Shukri Embong turut menambah, “MIMOS amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan SensoremTek dalam inisiatif penting ini. Kerjasama ini merupakan lonjakan besar bagi industri semikonduktor negara, terutamanya dalam bidang teknologi MEMS yang semakin penting. SensoremTek dengan pengalaman luas dalam teknologi produk MEMS dan capaian pasaran telah komited untuk bekerjasama dengan MIMOS dalam membangunkan produk inovatif berasaskan MEMS yang akan memperkukuh kedudukan Malaysia di pentas global. Bersama-sama, kita merintis masa depan yang dicorakkan oleh kecemerlangan teknologi dan kemajuan negara. Kita bermimpi, membayangkan masa depan, dan kini mencipta laluan, demi kesejahteraan Malaysia.”
Kerjasama ini dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global Elektrik dan Elektronik (E&E), mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, menarik pelaburan langsung asing (FDI), serta mengangkat Malaysia sebagai pusat inovasi semikonduktor di Asia. Antara perkara utama dalam perjanjian ini termasuk:
· MIMOS akan menyediakan perkhidmatan fabrikasi dan ujian wafer bahagian belakang (back-end), bagi memastikan proses pembuatan yang berkualiti tinggi.
· SensoremTek akan membekalkan teknologi sensor mikrofon MEMS canggih, melaksanakan pemindahan pengetahuan dan menyokong aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan.
· Kedua-dua pihak akan meneroka pembangunan produk berasaskan MEMS pada masa hadapan untuk meningkatkan daya saing Malaysia dalam teknologi semikonduktor di peringkat global.
Asas penting kerjasama ini ialah usaha memperkasa jurutera, saintis dan pemain industri tempatan. Inisiatif ini akan melahirkan generasi baharu pakar semikonduktor dengan kemahiran praktikal melalui program latihan intensif, seterusnya menyokong aspirasi Malaysia ke arah kepimpinan Industri 4.0.
Masa Depan yang Dicorakkan oleh Kecemerlangan Teknologi
Dengan pelan hala tuju jangka panjang yang jelas, MIMOS dan SensoremTek sedang menetapkan penanda aras baharu dalam kerjasama strategik industri. Perjanjian ini mengukuhkan komitmen Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam ekosistem global semikonduktor dan sensor MEMS, sekali gus membuka laluan kepada inovasi berimpak tinggi dan transformasi ekonomi.
Meneruskan perjalanan yang penuh potensi ini, MIMOS dan SensoremTek kekal teguh dalam misi untuk memajukan teknologi, memacu pertumbuhan negara dan membentuk masa depan yang meletakkan Malaysia di barisan hadapan revolusi semikonduktor dunia.
Mengenai MIMOS BerhadMIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan
ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan 2,000 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa.
Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti
R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (
Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (
Advanced Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (
Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (
Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan
R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari
www.mimos.my.
SUMBER: MIMOS Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Komunikasi Korporat kami:
Nama: Patricia Liew
Pengurus, Komunikasi Korporat
Emel: patricia.liew@mimos.my
Nama: Nurazuin Wahab
Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat
Emel: nurazuin.wahab@mimos.my
--BERNAMA