Khamis 20/03/2025
Rewang Bubur Lambuk ENCORP & MBPJ disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya YBrs. Tuan Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon dan Pengerusi ENCORP Encik Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff
KOTA DAMANSARA, 20 Mac (Bernama) -- Sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak, Encorp Berhad (ENCORP), sebuah syarikat pegangan pelaburan, bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menganjurkan Program Rewang Bubur Lambuk di The Strand Mall, hari ini. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) ENCORP dalam memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
Sebanyak 3,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada komuniti setempat melibatkan penduduk di sekitar Kota Damansara dan Petaling Jaya sebagai usaha menyemarakkan semangat berkongsi rezeki di bulan penuh keberkatan ini.
Program gotong-royong memasak bubur lambuk ini menyaksikan penglibatan seramai 127 warga kerja ENCORP bersama 20 wakil penduduk Kota Damansara yang bersama-sama berganding bahu dalam menyiapkan hidangan tradisi yang sinonim dengan bulan Ramadhan.
Turut hadir memeriahkan program ini adalah Datuk Bandar Petaling Jaya, YBrs. Tuan Hj. Mohamad Zahri bin Hj. Samingon yang menzahirkan penghargaan atas komitmen semua pihak dalam menjayakan program berunsur kebajikan ini.
Menurut Datuk Bandar, penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan menyuburkan amalan kebajikan malah turut memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak berkuasa tempatan, sektor korporat dan masyarakat setempat.
“Saya amat berbesar hati melihat semangat gotong-royong yang ditunjukkan oleh para peserta. Sambutan dan kerjasama erat antara warga kerja dan penduduk setempat membuktikan betapa eratnya hubungan komuniti dalam memastikan kejayaan program ini.”
Sementara itu, Pengerusi ENCORP, Encik Mohd Yusmadi bin Mohd Yusoff turut menzahirkan rasa bangga dengan penglibatan syarikat dalam inisiatif kemasyarakatan seperti ini.
“Sejajar dengan aspirasi syarikat – "Enlightened Corporation Makes Enlightened Nation", ENCORP berpegang teguh kepada nilai muafakat dan tanggungjawab sosial dalam usaha membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera. Semangat muafakat ini tidak terhad kepada satu program sahaja, tetapi diperluaskan merentasi pelbagai inisiatif dengan matlamat memberikan impak positif kepada masyarakat, selari dengan komitmen ENCORP dalam memperkukuhkan kesejahteraan komuniti,” ujar beliau.
MBPJ komited untuk terus memperkasakan inisiatif kemasyarakatan seumpama ini selari dengan aspirasi membentuk Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya mampan, inklusif dan bahagia. Pengiktirafan Petaling Jaya sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia menjadi bukti bahawa keharmonian dan kesejahteraan komuniti sentiasa diutamakan sejajar dengan usaha menjadikan bandar raya ini contoh terbaik dalam aspek pembangunan lestari dan kesejahteraan sosial.
Mengenai Encorp Berhad (ENCORP)
Tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia (ENCORP/6076). Kumpulan ini kini terlibat dalam tiga perniagaan teras – pembangunan hartanah, pelaburan hartanah dan pembinaan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.encorp.com.my
SUMBER: Encorp Berhad (ENCORP)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Saidah Umairah Binti Zul Azki
Eksekutif, Media & Perhubungan Awam
Tel: 03-6286 7634 / 017 6840824
E-mel: umairah@encorp.com.my
--BERNAMA