Penyakit tibi merebak melalui titisan udara daripada pesakit yang belum menerima rawatan, sama ada ketika mereka batuk, bersin mahupun bercakap. Oleh itu, amalan pencegahan seperti menutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin serta pemakaian pelitup muka sangat penting dalam membendung penularan jangkitan.
Antara
gejala lazim penyakit tibi adalah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, hilang selera makan, penurunan berat badan dan dalam sesetengah kes, batuk berdarah. Individu yang mengalami gejala ini disarankan untuk menjalani pemeriksaan segera di fasiliti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan awal.
Golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti tibi termasuklah kontak rapat kepada pesakit tibi, individu yang menghidap HIV, pesakit buah pinggang kronik, mereka yang menghidap penyakit pulmonari kronik serta perokok aktif. Saringan berkala amat digalakkan bagi golongan ini bagi memastikan pengesanan awal dapat dilakukan, sekaligus meningkatkan peluang sembuh sepenuhnya.
Adalah penting untuk ditekankan bahawa penyakit tibi bukan disebabkan oleh santau, buatan orang mahupun penyakit keturunan. Ia adalah penyakit berjangkit yang boleh disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang konsisten dan mengikut saranan pengamal perubatan. Pesakit tibi tidak wajar disisihkan – sebaliknya masyarakat harus menunjukkan sokongan dan empati, kerana penerimaan komuniti adalah elemen penting dalam kejayaan rawatan dan pemulihan.
KKM komited dalam memperkukuh sistem perkhidmatan kawalan tibi negara melalui pelbagai pendekatan. Antara langkah yang telah diambil termasuklah penggunaan teknologi diagnostik terkini yang lebih cepat, tepat dan mesra pengguna; pengukuhan sistem pemantauan pesakit bagi memastikan pematuhan rawatan; serta peningkatan kapasiti petugas kesihatan dalam pengurusan tibi yang berkesan.
Sempena Hari Tibi Sedunia 2025, KKM menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi komitmen bersama ke arah penghapusan tibi. Dengan memperkasa komitmen, dana dan perkhidmatan, kita mampu menjadikan misi ini satu realiti.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 24 MAC 2025
SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my
--BERNAMA