LEBIH 51,000 KEDAI TERLIBAT DALAM LARANGAN PAMERAN PRODUK MEROKOK DI KAUNTER JUALAN DI BAWAH AKTA 852

Selasa 25/03/2025

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024 iaitu larangan pameran produk merokok di kaunter jualan bermula 1 April 2025 akan melibatkan lebih 51,000 kedai yang menjual produk merokok.

Ini berikutan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] bersama-sama peraturan dan perintah yang berkaitan di bawahnya mulai 1 Oktober 2024. Sejak penguatkuasaan Akta ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memastikan setiap peraturan dipatuhi mengikut tempoh yang ditetapkan, termasuklah dengan penguatkuasaan pendidikan dan advokasi yang dijalankan secara berterusan.

Bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan yang ditetapkan, KKM telah menetapkan pendekatan penguatkuasaan secara berfasa yang berhemah, berhikmah dan berkesan.

Penguatkuasaan yang dirancang telah dibahagikan kepada penguatkuasaan serta merta dan penguatkuasaan secara berfasa.

Mengambil kira keberkesanan dan praktikaliti pelaksanaan di beberapa negara lain, kaedah yang dianggap paling sesuai bagi pelaksanaan larangan pameran ini adalah dengan menyediakan almari bertutup berbanding penggunaan kain atau kanvas.

Perkara ini sangat penting bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan yang boleh memberi ruang kepada aktiviti promosi secara tidak langsung yang bertentangan dengan semangat dan maksud larangan pameran tersebut.

Justeru, KKM akan terus bekerjasama dengan pekedai untuk memastikan pemasangan almari bertutup dibuat mengikut spesifikasi dan pematuhannya dipantau rapat dari semasa ke semasa. Proses ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang 1 Oktober 2025.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
24 MAC 2025

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA

 

+