KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor-gabenor ASEAN, Kementerian Kewangan bersama Bank Negara Malaysia menganjurkan Pameran Malaysia Open House @ ASEAN 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre, bermula 7 hingga 10 April 2025.
Pameran yang dibuka secara percuma kepada orang ramai ini menampilkan 30 reruai dalam tiga zon utama iaitu Zon Kebudayaan, Zon Kewangan dan Ekonomi serta Zon Belia. Secara keseluruhanan, zon-zon ini bertujuan untuk menarik minat pengunjung dari segenap lapisan masyarakat termasuk kalangan usahawan mikro, belia, orang awam dan pelancong dalam dan luar negara.
Bercakap semasa merasmikan pameran tersebut, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II berkata pameran ini bertujuan untuk mendidik rakyat mengenali usahawan mikro tempatan dan juga ASEAN dengan lebih dekat agar dapat menyemai rasa sepunya kepada rantau ini.
Beliau turut menambah, “Selain itu kita bawakan juga beberapa institusi kewangan terkemuka di Malaysia untuk membuka ruang dan peluang kepada peniaga kecil untuk menambahbaik perniagaan mereka. Inisiatif iTekad misalnya, dengan peruntukan sebanyak RM15 juta di bawah Belanjawan 2025 yang dibawakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan sebuah program kewangan sosial yang bertujuan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan. Di sini juga kita bawakan bank-bank yang mengelolakan iTekad supaya usahawan-usahawan mikro ini boleh terus mendapatkan maklumat dan perkhidmatan untuk membantu perniagaan mereka”.
Pameran Malaysia Open House @ ASEAN 2025 turut melibatkan beberapa Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan seperti Kraftangan Malaysia dan FAMA mewakili Jabatan Pertanian serta semua Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Pameran ini dijangka mampu menarik minat pengunjung melalui segmen-segmen yang menonjolkan keunikan seni tradisi seperti demonstrasi lipatan tanjak, pembuatan songket dan telepok, anyaman, tenunan keringkam dan manik serta produk ukiran kayu kaum Mahmeri. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati aneka makanan tradisional serta mencuba produk inovatif hasil kreativiti usahawan tempatan.
Pengunjung juga berpeluang mengenali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan lebih lanjut melalui pameran inovatif yang dibawakan khas oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.
Pameran ini turut menyediakan pengisian bermanfaat merangkumi pendidikan kewangan termasuk panduan pelaburan selamat, langkah-langkah mengelakkan jenayah kewangan, serta strategi pengurusan kewangan yang mampan, demi meningkatkan literasi kewangan dalam kalangan pengunjung.
Kementerian Kewangan
Putrajaya
7 April 2025
SUMBER: Kementerian Kewangan
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama : Mrs Azura
Tel: +6019-600 2874
--BERNAMA