Ucapan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour di ASEAN Investors Roundtable Conference Hall 3 KLCC | 7 April 2025 “Membuka Peluang untuk Memajukan Inisiatif Iklim ASEAN”

Isnin 07/04/2025

Saya berbesar hati bersama para hadirin untuk ASEAN Investors Roundtable. Melalui acara yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan utama sebegini, kita dapat terus meraih kemajuan yang bermakna dalam usaha menangani cabaran kritikal berkaitan iklim yang sedang dihadapi oleh rantau ini.

Acara ini sememangnya dianjurkan tepat pada masanya, memandangkan rantau kita secara keseluruhan sedang menghadapi kesan buruk kejadian iklim terhadap ekonomi dan komuniti serantau. Seperti yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, terdapat keperluan yang begitu mendesak untuk tindakan iklim pada masa ini. Kita perlu segera melakukan tindakan tegas, bukan sahaja untuk mengurangkan kesan perubahan iklim terhadap rantau ini malah untuk memanfaatkan peluang masa hadapan. Mengambil langkah yang perlu untuk membina daya tahan iklim bukan sahaja memastikan ekonomi kita dapat terus berkembang secara mampan, malah membuka banyak peluang menerusi pelaburan iklim. Peluang ini merangkumi projek tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur rendah karbon dan pertanian lestari. 

ASEAN telah mencapai kemajuan yang menggalakkan dalam usaha meletakkan asas untuk menggembleng modal swasta ke arah kewangan iklim dan kewangan mampan. Kemajuan ini termasuk inisiatif seperti ASEAN Green Bond Standards dan ASEAN Taxonomy for Sustainable Finance. Walau bagaimanapun, pelaburan sektor swasta dalam projek iklim masih tidak mencukupi dan perlu ditingkatkan berikutan skala pelaburan yang diperlukan oleh rantau ini. Seandainya dibuat pengagihan semula sebanyak 5% sahaja daripada pendanaan pelabur institusi Asia kepada aktiviti berkaitan iklim, sebanyak USD8 bilion hingga USD10 bilion aliran tambahan akan mampu dijana setiap tahun.¹

Namun begitu, lebih banyak usaha diperlukan untuk mencapai matlamat iklim terbesar bagi rantau ini. Dengan anggaran sebanyak USD422 bilion²  yang diperlukan menjelang tahun 2030 untuk mitigasi dan adaptasi iklim, masih terdapat jurang besar antara keperluan pembiayaan dengan aliran pembiayaan semasa. Tiada satu pihak pun yang mampu atau patut memikul tanggungjawab ini sendirian. Bagi merapatkan jurang ini, pendekatan praktikal dan kolaboratif yang melibatkan sektor awam, swasta, dan kedermawanan sangat diperlukan. Saya yakin bahawa perkongsian awam, swasta dan kedermawanan bukan sahaja dihasratkan malah menjadi aspek yang sangat penting untuk meraih potensi penuh bagi pengurangan karbon ASEAN.  

Projek-projek Serantau Utama bagi Pengurangan Karbon dan Keperluan Pembiayaan 

Penggerak agenda pengurangan karbon di rantau ini akan melibatkan beberapa projek utama, dengan salah satu projek tersebut ialah ASEAN Power Grid atau APG. APG ialah inisiatif yang sangat penting untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat, sambil menyediakan asas yang kukuh untuk ASEAN yang lebih mampan serta mengukuhkan keselamatan tenaga serantau, yang seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi. APG akan memudahkan integrasi tenaga boleh diperbaharui di seluruh rantau ini, meningkatkan perdagangan tenaga dan menyokong masa hadapan yang lebih bersih dan lestari untuk negara-negara anggota ASEAN. Namun, menjadikan APG suatu kenyataan merupakan usaha yang amat besar. Projek jangka panjang ini memerlukan pelaburan besar bernilai sekitar USD764 bilion untuk sistem penjanaan dan transmisi kuasa sehingga tahun 2040, dengan USD17 bilion khusus untuk penyambung tara (interconnectors).³ 

Sementara itu, teknologi Perolehan dan Penyimpanan Karbon (Carbon Capture and Storage, CCS) merupakan satu penyelesaian untuk mengurangkan karbon dalam sektor-sektor berpelepasan tinggi, terutamanya sektor yang sukar dihentikan pelepasannya atau sektor yang teknologinya masih belum mencapai tahap yang diperlukan. Di Asia Tenggara, kita mempunyai banyak tapak minyak dan gas lama yang sesuai untuk dijadikan fasiliti penyimpanan karbon. Meskipun teknologi CCS telah diuji dan digunakan sejak tahun 1970-an, skala projek CCS yang diperlukan kini adalah jauh lebih besar disebabkan oleh komitmen iklim yang semakin meningkat dan keperluan yang semakin mendesak untuk mencapai pelepasan sifar bersih.  

¹ Climate Finance Access and Mobilization Strategy for the Member States of the Association of Southeast Asian Nations (2024–2031)
²Climate Finance Access and Mobilization Strategy for the Member States of the Association of Southeast Asian Nations (2024–2031)
³ ASEAN Secretariat’s Briefing on Energy Sector 

Struktur Pembiayaan Inovatif untuk Menangani Halangan
Projek-projek ini hanyalah dua daripada banyak lagi projek lain yang sedang dan akan dilaksanakan. Meskipun ada peluang yang nyata, halangan untuk merealisasikannya tidak dapat dinafikan. Kos modal yang tinggi, teknologi yang berkembang dan kekurangan mekanisme pengurangan risiko yang berkesan ialah halangan utama yang sering mengekang kemajuan projek iklim untuk melepasi peringkat perancangan. Oleh itu, kita perlu terus meneroka kaedah yang inovatif untuk mengurangkan risiko pelaburan dan memastikan pembiayaan yang sewajarnya disediakan pada semua peringkat pembangunan projek, terutamanya untuk inisiatif berskala besar dan jangka panjang seperti projek APG dan CCS. 

Kita telah menyaksikan peningkatan penggunaan kewangan campuran untuk menangani cabaran pembiayaan ini. Dana awam, swasta dan kedermawanan digabungkan untuk mengurangkan risiko dan menarik lebih banyak pelaburan. Walau bagaimanapun, perlu diakui bahawa penyelesaian yang seragam tidak sesuai untuk semua keadaan. Struktur pembiayaan boleh dan seharusnya berbeza mengikut projek serta disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus setiap projek. 

Kewangan Islam juga menawarkan instrumen kewangan yang pelbagai dan berdaya maju, termasuk struktur kewangan campuran yang boleh digunakan untuk memudahkan peralihan rantau ini ke arah ekonomi yang lebih lestari dan inklusif. Pada masa ini, aset kewangan Islam di Asia Tenggara bernilai USD859 bilion.4 Pasaran sukuk di ASEAN telah mencatatkan pertumbuhan yang stabil dengan sukuk terkumpul meningkat daripada USD364 bilion pada tahun 2021 kepada USD414 bilion pada tahun 2023, dengan Malaysia dan Indonesia menjadi negara terbesar bagi penerbitan sukuk.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sukuk telah semakin diterima sebagai instrumen untuk membiayai pembangunan ekonomi di rantau ini termasuk dalam sektor infrastruktur, pengangkutan dan pendidikan. Sebagai contoh, pada tahun 2018, Indonesia telah menerbitkan sukuk hijau yang pertama di dunia. Hasil penerbitan sukuk ini telah diperuntukkan untuk projek-projek alam sekitar dan iklim dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan pengangkutan lestari. Dengan memanfaatkan instrumen kewangan Islam, negara-negara ASEAN mendapat akses kepada kumpulan pelabur yang lebih besar, termasuk pelabur yang mencari pilihan pelaburan patuh Syariah. Saya dengan ini mengundang komuniti pelaburan untuk memanfaatkan ekosistem kewangan Islam di Malaysia yang bersifat pelbagai dan mencapai tahap matang. 

Kesimpulan dan Seruan untuk Bertindak

Usaha memajukan dan membiayai matlamat iklim ASEAN merupakan gerakan yang besar. Perkongsian yang teguh merupakan faktor penting untuk menjayakannya. Kami berharap agar komuniti pelaburan serantau dan global, termasuk pelabur swasta dan dermawan, akan berganding bahu dengan negara-negara anggota ASEAN dalam usaha menyalurkan pelaburan yang bermakna demi mencapai agenda peralihan rendah karbon di rantau ini. Dialog ini juga akan menjadi elemen penting untuk kita saling berkongsi pengetahuan dan bertukar idea ke arah mewujudkan struktur pembiayaan yang inovatif.

Terima kasih saya ucapkan, dan harapan saya agar perbincangan kita hari ini akan menghasilkan manfaat ke arah usaha kita untuk membina masa hadapan yang lestari dan berdaya tahan untuk ASEAN dan selanjutnya.

Bank Negara Malaysia
7 April 2025


--BERNAMA 
+