SITUASI SEMASA DEMAM DENGGI DI MALAYSIA SEHINGGA MINGGU EPIDEMIOLOGI KE-13 (23 - 29 MAC 2025)

Khamis 10/04/2025

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Pada Minggu Epidemiologi ke-13 (23 - 29 Mac 2025), sebanyak 1,021 kes demam denggi dan tiada kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan, berbanding 1,129 kes (penurunan 9.6%) dan tiada kematian pada minggu sebelumnya. Secara kumulatif, jumlah kes demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 16,296 kes dengan 10 kematian, berbanding 44,144 kes (penurunan 63.1%) dan 31 kematian (penurunan 67.7%) untuk tempoh yang sama tahun 2024.

Walau bagaimanapun, bilangan lokaliti hotspot telah meningkat kepada 21 lokaliti pada Minggu Epidemiologi ke-13 berbanding 20 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya (peningkatan 0.05%). Daripada 21 lokaliti yang dilaporkan, 14 lokaliti adalah di Negeri Selangor (67%), tiga (3) lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya (14%), dua (2) lokaliti di Negeri Sabah (9%), satu (1) lokaliti di Negeri Sembilan (5%) dan satu (1) lokaliti di Negeri Kedah (5%).

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada untuk memastikan kes denggi tidak meningkat dan kekal di bawah paras median lima (5) tahun. Aktiviti semasa musim perayaan seperti pulang ke kampung, saling berziarah dan pergi bercuti boleh meningkatkan risiko jangkitan denggi di kawasan setempat dan kawasan lain. Ini kerana, pergerakan penduduk boleh menyebarkan virus denggi melalui individu yang dijangkiti termasuk individu yang tidak bergejala. Oleh itu, orang ramai perlu mengambil langkah-langkah pencegahan kendiri seperti memakai pakaian yang menutupi anggota badan, menggunakan ubat penghalau nyamuk (repellent) pada bahagian badan yang terdedah serta memastikan persekitaran bersih dan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan melakukan aktiviti 'Cari dan Musnah' sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu. Layari portal iDengue di https://idengue.mysa.gov.my/ untuk mengetahui informasi terkini berkaitan situasi semasa denggi di tempat kawasan tempat tinggal atau di mana-mana kawasan yang hendak dikunjungi. Tiada Aedes, tiada denggi.

DATUK DR. MUHAMMAD RADZI BIN ABU HASSAN
Ketua Pengarah Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
9 April 2025

SUMBER : Kementerian Kesihatan Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama : Timothy A/L Palavadram
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-Mel: timothy.palavadram@moh.gov.my 

--BERNAMA

+