KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan penuh kesal mengambil maklum berhubung kesilapan yang dilakukan oleh dua surat khabar berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh dan Sin Chew Daily yang telah memaparkan imej bendera Malaysia (Jalur Gemilang) yang tidak lengkap pada muka hadapan penerbitan mereka baru-baru ini. Kesilapan ini melibatkan ketiadaan simbol bulan sabit pada bendera yang merupakan lambang penting mewakili Islam sebagai agama Persekutuan Malaysia.
Jalur Gemilang bukan sekadar lambang kebangsaan, tetapi juga mencerminkan identiti, kedaulatan dan semangat perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. IKIM memandang serius sebarang kesilapan dalam pemaparan bendera kebangsaan, sama ada disengajakan atau sebaliknya kerana boleh mencetus sensitiviti dan menjejaskan keharmonian. IKIM menyeru semua pihak media untuk meningkatkan ketelitian dalam memaparkan simbol kebangsaan, termasuk melalui proses semakan yang lebih ketat dan pengawasan ke atas penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam penyuntingan.
Sebagai institusi yang komited memupuk perpaduan dan kefahaman antara kaum, IKIM menggesa rakyat Malaysia untuk menangani isu ini dengan penuh kematangan dan saling menghormati. Dialog konstruktif dan kesediaan untuk belajar daripada kesilapan adalah penting. Kami juga menyeru semua pihak, termasuk media dan pemimpin masyarakat untuk memastikan Jalur Gemilang sentiasa dihormati sebagai lambang kesetiaan kepada negara.
IKIM kekal komited untuk mempromosikan perpaduan nasional dan berharap isu ini menjadi pengajaran bagi semua pihak untuk lebih menghargai simbol kebangsaan kita.
Sekian, terima kasih.
Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed AdilKetua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
18 April 2025 bersamaan 19 Syawal 1446H
SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT IKIM
Nama : Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail
Tel : 016-219 5345
e-mel : nikhasnah@ikim.gov.my
Nama : En. Sharuzi bin Ismail
Tel : 010-4026 6200
e-mel : jie@ikim.gov.my
--BERNAMA