TOURISM MALAYSIA ANJUR SESI LIBAT URUS DI KELANTAN SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

Isnin 21/04/2025

KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Tourism Malaysia meneruskan usaha memperkukuh kerjasama dengan penggiat industri pelancongan melalui penganjuran program Sesi Libat Urus bersama penggiat industri di negeri-negeri Pantai Timur, bermula dari 20 hingga 22 April 2025 melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
 
Sesi libat urus ini merupakan siri keenam, susulan sesi libat urus yang telah diadakan sebelum ini di Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Melaka. Program ini juga merupakan kesinambungan daripada pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi dan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
 
Matlamat utama sesi ini adalah untuk memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh berkenaan inisiatif serta peluang yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada penggiat industri pelancongan di Kelantan, seterusnya mendukung agenda nasional ke arah kejayaan TMM2026.
 
Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta amat penting bagi memastikan Kelantan terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama. Untuk sesi ini, Tourism Malaysia bekerjasama erat dengan kerajaan negeri bagi memastikan semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh hadir serta menerima maklumat tepat mengenai inisiatif yang ditawarkan.
 
Antara inisiatif utama yang dikongsi termasuk Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN), serta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK). Selain itu, agensi-agensi seperti Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Balai Seni Visual Negara (BSVN) turut membentangkan program serta aktiviti tahun 2025 kepada para peserta.
 
Turut hadir dalam sesi ini ialah YB Datuk Kamaruddin Md Nor, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan; YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia; serta wakil-wakil daripada kerajaan negeri dan industri pelancongan negeri.
 
Pada tahun 2024, Malaysia mencatatkan sebanyak 38 juta ketibaan pelawat, meningkat sebanyak 31.1% berbanding tahun 2023. 10 pasaran utama ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan. Bagi tahun 2025 menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, negara menyasarkan sebanyak 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion.

Tourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di FacebookInstagramXYouTube, dan TikTok.

Sumber: Tourism Malaysia

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 

Nama: Norazlina Ismail
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8789
E-mel: norazlina@tourism.gov.my 


Nama: Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: +603 8891 8775
E-mel: norshariza@tourism.gov.my 

--BERNAMA
+