KEKHILAFAN MENGUTAMAKAN KEMENANGAN POLITIK BERBANDING HAJI DAN UMRAH

Isnin 21/04/2025

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan ini ingin menegaskan bahawa kenyataan mana-mana pemimpin politik yang mengutamakan kemenangan politik berbanding ibadah haji dan umrah dipetik dalam konteks yang tidak wajar dan boleh menimbulkan salah faham di kalangan umat Islam. Haji sebagai rukun Islam kelima, merupakan kewajiban yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang berkemampuan, sebagaimana termaktub dalam al-Quran, Surah Ali Imran, ayat 97 dan sesekali tidak mengengkari kewajipannya. Umrah pula adalah ibadah sunat yang amat digalakkan, yang membawa ganjaran spiritual yang besar seperti yang dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW: “Satu umrah ke satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya, dan haji yang mabrur tiada balasan baginya melainkan syurga.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Pemimpin politik sebagai individu yang menjadi teladan dalam masyarakat, seharusnya menunjukkan sikap yang seimbang antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan ukhrawi. Mengutamakan kemenangan politik sehingga mengabaikan atau merendahkan nilai ibadah seperti haji dan umrah boleh mencerminkan kekeliruan dalam memahami peranan agama dalam kehidupan. Lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang di mana giliran menunggu untuk menunaikan haji mengambil masa yang begitu panjang.

Penangguhan untuk menunaikan ibadah haji atas faktor kesihatan dan keselamatan adalah rukhsah yang dibenarkan oleh syarak dan tidak boleh sama sekali disamakan dengan penangguhan hanya kerana perlu mengundi dalam pilihanraya.

Islam mengajar bahawa kejayaan duniawi tidak boleh mengatasi kewajipan beribadah kepada Allah SWT, kerana kehidupan di dunia adalah sementara berbanding kehidupan akhirat yang kekal.

IKIM menyeru semua pihak terutama pemimpin politik agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang melibatkan perkara di atas. Sebaliknya pemimpin digalakkan untuk mempromosikan nilai-nilai murni Islam termasuk mengutamakan ibadah dan akhlak mulia serta melaksanakan tanggungjawab politik dengan penuh integriti dan keadilan.

Kami juga menyeru masyarakat untuk terus mendalami ilmu agama agar dapat membezakan antara tanggungjawab duniawi dan keutamaan spiritual.

IKIM kekal komited untuk memupuk kefahaman Islam yang seimbang dan menyeluruh demi kemaslahatan ummah.

Sekian, terima kasih.
 
Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil
Ketua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 

21 April 2025 bersamaan 22 Syawal 1446H

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 

UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI: 
Nama: Pn. Hajah Nik Hasnah binti Ismail 
Tel: 016-219 5345 

Nama: En. Sharuzi bin Ismail 
Tel: 010-4026 6200 
Emel: jie@ikim.gov.my

--BERNAMA 
+