KUALA TERENGGANU, 21 April (Bernama) -- Tourism Malaysia meneruskan siri jelajah Pantai Timur bagi memperkukuh hubungan dengan penggiat industri pelancongan menerusi Sesi Libat Urus yang berlangsung di Raia Hotel, Kuala Terengganu pada hari ini.
Program ini merupakan kesinambungan kepada pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi dan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), serta sebahagian daripada siri sesi yang berlangsung dari 20 hingga 22 April 2025 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Sesi ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh mengenai pelbagai inisiatif dan insentif yang ditawarkan oleh Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada para pemain industri pelancongan di negeri Terengganu, seiring dengan usaha menjayakan agenda nasional menjelang TMM2026.
Kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta amat penting bagi memastikan pertumbuhan sektor pelancongan negeri. Tourism Malaysia, dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu, memastikan semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh hadir serta mendapat maklumat yang tepat dan menyeluruh.
Antara inisiatif utama yang dikongsi termasuk Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN), dan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK). Turut membuat pembentangan ialah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang memperincikan program dan aktiviti pelancongan dan kebudayaan tahun 2025.
Turut hadir ialah YB Ustaz Sulaiman Sulong, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu; YBhg. Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia; serta wakil-wakil daripada kerajaan negeri dan industri pelancongan negeri.
Pada tahun 2024, Malaysia mencatatkan sebanyak 38 juta ketibaan pelawat, meningkat sebanyak 31.1% berbanding tahun 2023. 10 pasaran utama ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, Brunei, India, Filipina, Korea Selatan, Australia dan Taiwan. Bagi tahun 2025 menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, negara menyasarkan sebanyak 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion.
Tourism MalaysiaLembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal meraikan kelestarian industri pelancongan negara seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Selain itu, Tourism Malaysia turut menyokong Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke arah merealisasikan Tahun Melawat IMT-GT 2023-2025 bagi mempromosikan wilayah serantau sebagai destinasi pelancongan tunggal. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di
Facebook,
Instagram,
X,
YouTube, dan
TikTok.
SUMBER: Tourism Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Norazlina Ismail
Penolong Pengarah Kanan
Bahagian Komunikasi Korporat
norazlina@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8789
Nama: Norshariza Mohd Saad
Timbalan Pengarah
Bahagian Komunikasi Korporat
norshariza@tourism.gov.my
Tel: +603 8891 8775
--BERNAMA