KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- RHB Islamic Bank Berhad (“RHB Islamic”) memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam Kewangan Sosial Islam, dan kekal komited dalam memperkasakan golongan asnaf dan komuniti B40. Melalui inisiatif strategik dan pelancaran laman web baharu, ia menjadi manifestasi kesungguhan RHB Islamic untuk memacu perubahan bermakna serta membina masyarakat yang lebih inklusif dan saksama dalam aspek sosioekonomi. Laman web baharu ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan, bahkan berfungsi sebagai platform untuk menggalakan penglibatan masyarakat di mana para penerima manfaat, rakan kongsi, dan masyarakat awam dapat memahami, menyertai, serta menyumbang kepada misi kewangan sosial RHB Islamic.
“Di RHB Islamic, kami percaya bahawa kejayaan kewangan perlu seiring dengan tanggungjawab sosial,” kata Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan RHB Islamic. “Berpandukan Maqasid al-Shariah, kami komited untuk membangunkan penyelesaian yang mampan ke arah menangani cabaran sosio-ekonomi dalam kalangan masyarakat. Sejak 2017, RHB Islamic telah secara strategik mengagihkan dana zakat, wakaf dan sedekah melalui empat teras utama: Pemerkasaan Ekonomi, Pemerkasaan Pendidikan, Kelestarian Komuniti, dan Inisiatif Hijau. Komitmen ini bukan sahaja mengenai pemberian bantuan kewangan tetapi juga membina pemerkasaan ekonomi jangka panjang dan memastikan setiap ringgit digunakan secara berkesan bagi menghasilkan impak sosial yang positif.”
Komitmen ini dibuktikan melalui pertambahan inisiatif-inisiatif kewangan sosial oleh RHB Islamic dari semasa ke semasa, dengan jumlah penggunaan dana yang meningkat daripada RM1,061,461 pada tahun 2022 kepada RM1,430,157 pada tahun 2024. Peningkatan ini mencerminkan tumpuan yang lebih mendalam terhadap penyaluran dana untuk manfaat sosio-ekonomi yang berimpak dan berpanjangan.
Sorotan Utama Komitmen Kewangan Sosial RHB Islamic: ·
Penyesuaian dengan Kerangka Nasional dan Global:Pendekatan berstruktur ini selaras dengan kerangka nasional seperti Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) Bank Negara Malaysia dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini menegaskan komitmen RHB Islamic terhadap amalan perbankan yang beretika, bertanggungjawab dan mampan, sekali gus memperkasakan kebajikan awam serta memastikan pematuhan terhadap piawaian nasional dan antarabangsa.
·
Hasil Ketara:Melalui inisiatif dan program yang inovatif, RHB Islamic telah berjaya merealisasikan impak positif dalam kalangan masyarakat yang mengubah kehidupan dan memberi kesan peningkatan ekonomi mereka secara mampan. Antara impak yang dicapai adalah seperti berikut:
o
B40 Education Empowerment Programme (“BEEP”): Menyokong lebih daripada 3,000 individu melalui inisiatif pendidikan dan pembangunan kemahiran.
o
B40 Empowerment Strategy – Be Your Own Boss (“BEST-BYOB”): Membantu 50 peserta memperoleh kemahiran keusahawanan bagi memupuk kemandirian ekonomi.
o
Projek Pembangunan Ekonomi Ummah Lembaga Zakat Negeri Kedah (“LZNK PPEU”): Memperkasa lebih daripada 80 petani asnaf untuk mencapai kemampanan ekonomi.
o
Memperkasakan Asnaf B40 Melalui Projek Ekonomi di Perlis: RHB Islamic dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (“MAIPs”) komited untuk mempertingkatkan taraf hidup komuniti asnaf B40 melalui inisiatif ekonomi yang mampan melalui penyediaan latihan amali, pembangunan kerjaya, dan peluang keusahawanan:
o
Projek “Harvest Bakery” (sejak 2022) – Melatih lebih 96 suri rumah asnaf dalam bidang pembuatan roti dan makanan sejuk beku, yang memberikan manfaat signifikan kepada mereka.
o
Projek “Sewing Delight” (2023) – Membantu 40 wanita asnaf mengembangkan kemahiran menjahit dan membuat pakaian, membolehkan mereka menjana pendapatan.
o
Projek Penghasilan Karipap (2023) – Berkongsi pengetahuan tentang keusahawanan berasaskan makanan, sambil melengkapi peserta dengan pengalaman amali dalam pengeluaran makanan dan pengurusan perniagaan.
o
Pusat Baikpulih Telefon Pintar (2024) – Menyediakan latihan dalam pembaikan gajet, membuka peluang kepada asnaf yang berminat dalam industri teknologi.
Melalui inisiatif-inisiatif ini, RHB Islamic terus memupuk pemerkasaan ekonomi dan kemandirian dalam kalangan komuniti asnaf.
o
Inisiatif Masjid Hijau: Memperkenalkan teknologi hijau di masjid bagi mengurangkan jejak karbon daripada penggunaan elektrik dan air. Usaha utama termasuk pemasangan sistem Solar PV, sistem penuaian air hujan, rawatan air kendiri, dan pengumpulan minyak masak terpakai daripada komuniti. Empat masjid di Perlis, Selangor, Pahang, dan Melaka, Malaysia telah menerima manfaat di bawah inisiatif ini.
·
Kerjasama Strategik:RHB Islamic bekerjasama dengan organisasi terkemuka termasuk Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), dan universiti tempatan untuk memperluas jangkauan program. Melalui kerjasama ini, RHB Islamic bukan sahaja memperluaskan jangkauan kewangan sosialnya tetapi juga mencipta peluang untuk inovasi kolaboratif dan impak bersama dalam komuniti.
Laman Web Baharu Tingkatkan Ketelusan dan PenyertaanLaman web yang baru dilancarkan ini berfungsi sebagai hab utama bagi inisiatif kewangan sosial RHB Islamic yang menyediakan maklumat dan gambaran menyeluruh mengenai program yang sedang berjalan, kisah kejayaan, dan memberi peluang untuk penglibatan komuniti. Laman web ini meningkatkan ketelusan dan aksesibiliti untuk pelanggan, penerima manfaat dan masyarakat, menawarkan saluran yang jelas untuk mengetahui tentang program yang tersedia, penggunaan dana, serta menyertai inisiatif kewangan sosial yang dijalankan oleh RHB Islamic.
Dato’ Adissadikin Ali juga menjelaskan mengenai pelancaran laman web ini, “Laman web baharu yang dilancarkan ini merupakan komitmen berterusan RHB Islamic untuk membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka yang memerlukan. Kami menggalakkan semua pihak untuk melayari laman web ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif kami, meneroka kisah kejayaan para penerima manfaat, dan mengetahui bagaimana untuk menyertai dan menyumbang kepada misi kami dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan berdaya tahan. Dengan memupuk ketelusan dan kerjasama, kami berhasrat untuk meluaskan jangkauan dan kerjasama, sama ada sebagai rakan kongsi, penerima manfaat, atau penyumbang untuk mencipta impak sosial yang berkekalan. RHB Islamic kekal teguh dalam misi kami untuk memperkasa perbankan melalui kewangan sosial, mewujudkan impak positif dan mampan kepada masyarakat.”
Melangkah ke Hadapan: Visi untuk Masa DepanRHB Islamic konsisten dalam memperluaskan usaha kewangan sosialnya dengan komitmen yang teguh untuk memperkasakan dan mengukuhkan masyarakat melalui inisiatif yang mampan dan inklusif. Melangkah ke hadapan, RHB Islamic menyasarkan untuk menyalurkan manfaat kepada sekurang-kurangnya 10,000 asnaf dan komuniti B40 menjelang tahun 2030, dengan memberi tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan dan peluang ekonomi yang bermakna.
Bercakap mengenai visi jangka panjang RHB Islamic, Dato’ Adissadikin Ali berkata,
“Saya berharap agar para peserta yang kami bantu hari ini, sama ada usahawan asnaf mahupun para pelajar, akan menjadi pembayar zakat pada suatu hari nanti. Itulah ukuran kejayaan sebenar: apabila mereka yang kita bantu hari ini akhirnya mampu membantu orang lain pula di masa hadapan.”
RHB Islamic menjemput individu, organisasi, dan pihak berkepentingan untuk meneroka peluang kerjasama melalui laman web baharu ini. Pendekatan kolaboratif ini akan meningkatkan keupayaan bank untuk menyampaikan perubahan bermakna sambil mengajak pihak lain untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih saksama.
Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Kewangan Sosial RHB Islamic, layari laman web baharu di
https://www.rhbgroup.com/islamic-social-harmoni/index.html.
SUMBER: RHB Islamic Bank Berhad
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Marissa Bany
Group Sustainability and Communications
RHB Bank Berhad
Tel: 012 238 5335
Website: www.rhbgroup.com
--BERNAMA