Selasa 22/04/2025
PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Malaysia terus mencatatkan satu lagi tahun yang cemerlang dalam penyelidikan klinikal yang dipacu oleh momentum kukuh, inovasi berterusan, dan jejak global yang semakin meluas — seperti yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2024. Pencapaian ini telah diumumkan secara rasmi oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada 21 April 2025 .
Laporan tahunan ini merekodkan 267 penyelidikan klinikal baharu di Malaysia pada tahun 2024, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 2,500 kajian sejak penubuhan CRM pada tahun 2012.
Malaysia turut mencatatkan kemajuan ketara dalam penyelidikan fasa awal, dengan 5 kajian First-in-Human (FIH) diluluskan pada tahun 2024 — angka tertinggi dalam satu tahun sejak pelancaran Projek Realisasi Fasa 1 CRM pada tahun 2016. Kajian-kajian ini dijalankan di Hospital Umum Sarawak, sebuah pusat yang telah diakreditasi oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk melaksanakan kajian FIH.
Pencapaian ini mencerminkan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dan rekod prestasi yang kukuh dalam menjalankan penyelidikan klinikal bertaraf antarabangsa dengan kepantasan, mutu dan kebolehpercayaan. Ia didorong oleh komitmen tinggi para penyelidik, penyelaras kajian, dan rakan industri — menjadikan tahun 2024 bukti nyata kepada impak kerjasama strategik yang berfokus dan bersepadu dalam memajukan penyelidikan klinikal negara.
CRM turut mencatatkan satu lagi pencapaian penting dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama CSI Medical Research (sebuah Syarikat ClinChoice). MoU ini ditandatangani oleh Dr Akhmal Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif CRM, dan Encik Goh Tse Seng, Ketua Serantau Pembangunan Klinikal CSI Medical Research, serta disaksikan oleh YB Menteri. Usaha ini bertujuan untuk mempromosikan keupayaan Malaysia kepada syarikat bioteknologi antarabangsa dan memperkukuh pembangunan kapasiti khususnya dalam latihan serta pemerkasaan penyelaras kajian klinikal.
Selaras dengan Wawasan 2033 untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pilihan penyelidikan klinikal serantau, CRM terus menerajui pelbagai misi strategik yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan pengukuhan ekosistem penyelidikan. Antara inisiatif utama ialah Pusat Kecemerlangan CRM (CRM Centre of Excellence), yang telah melahirkan 30 pelatih siswazah dengan latihan asas dalam bidang penyelidikan klinikal.
Selain itu, CRM bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menerajui inisiatif di peringkat ASEAN untuk memperkasa Penyelidikan Klinikal, sekaligus meletakkan Asia Tenggara sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan penyelidikan global. Agenda ini juga akan diketengahkan dan dibincangkan di dalam persidangan antarabangsa CRM Trial Connect 2025. Persidangan tahunan ini dijangka akan melibatkan sekurang-kurangnya 1000 pemegang taruh dalam penyelidikan klinikal, dan akan diadakan di Kuala Lumpur pada bulan Mei akan datang.
Momentum ini sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap transformasi sistem kesihatan melalui kerangka Malaysia MADANI — khususnya dalam memacu inovasi berasaskan data dan teknologi, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui akses kepada terapi terkini. Penyelidikan klinikal bukan sahaja berfungsi sebagai pemacu sains, tetapi juga sebagai tonggak strategik dalam kemajuan kesihatan nasional dan serantau.
Mengenai Clinical Research Malaysia (CRM)
Clinical Research Malaysia (CRM) adalah Organisasi Pengurusan Penyelidikan Dipercayai Global yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2012. Organisasi ini berpegang kepada prinsip Kemanusiaan, Kestabilan, dan Kemampanan dalam mengutamakan penyelesaian kajian klinikal global dan membolehkan ekosistem penyelidikan klinikal berkembang maju di negara ini. CRM pada asasnya bertujuan untuk memupuk penyelidikan klinikal yang menangani keperluan pesakit yang belum dapat dipenuhi oleh ubat-ubatan sedia ada, dan memajukan natijah kesihatan di Malaysia.
CRM memastikan kajian klinikal tajaan dijalankan dengan kepantasan, keandalan dan mutu (Speed, Reliability and Quality) dengan mengutamakan kecemerlangan operasi, serta kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam menyediakan perkhidmatan sokongan penyelidikan klinikal yang menyeluruh. Seluruh CRM berfungsi berlandaskan nilai teras dan kod tatalaku yang berpandukan perakuan seperti ISO 9001:2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dan ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti-Rasuah) dan peraturan kawal selia antarabangsa. Kekuatan CRM berdiri sepenuhnya dengan junjungan warganya yang berkongsi visi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penyelidikan klinikal pilihan di rantau Asia. https://clinicalresearch.my
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Asha Thanabalan
Pengurus Kanan – Perhubungan Perniagaan & Komunikasi Korporat
Tel: +6012-364 8043 / +603-7931 5566 (ext. 122)
E-mel: asha@clinicalresearch.my
--BERNAMA