KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Alliance for Breastfeeding Action (WABA) pada 24 April 2025, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik untuk memperkukuh promosi, perlindungan dan sokongan terhadap amalan penyusuan susu ibu di seluruh negara. MoU ditandatangani oleh YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan bersama Chairperson Emeritus WABA, YBhg. Dato’ Seri (Dr.) Anwar Fazal.
MoU ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu menangani cabaran beban berganda malpemakanan dan memastikan setiap bayi di Malaysia mendapat permulaan hidup yang terbaik, khususnya dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan.
Pemeteraian ini juga dijangka memperluas rantaian kerjasama melalui jaringan tempatan dan global WABA, ia menyumbang ke arah merapatkan jurang (atau ‘closing the gap’) secara inklusif dan mampan antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi luar dalam pembangunan modal insan, penyelidikan dan advokasi penyusuan susu ibu.
Melalui MoU ini, KKM dan WABA akan berganding bahu dalam aspek advokasi, latihan, pembangunan kapasiti serta pelaksanaan program komuniti. Kerjasama ini selaras dengan dasar pemakanan dan kesihatan ibu-anak negara, serta menyokong matlamat Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk kesejahteraan yang saksama merentas semua lapisan masyarakat.
Penyusuan susu ibu diiktiraf sebagai intervensi kesihatan awam paling berkesan untuk menangani masalah seperti bantut, kekurangan zat dan obesiti. Pelan Strategik Beban Berganda Malpemakanan KKM menjadi panduan utama berasaskan bukti (atau ‘evidence-based’) dalam usaha ini.
WABA, berpusat di Pulau Pinang, merupakan NGO antarabangsa dengan pengalaman luas dalam sokongan penyusuan global. MoU ini turut menyokong inisiatif seperti Hospital Rakan Bayi (atau ‘Baby-Friendly Hospital Initiative - BFHI’), program advokasi akar umbi dan pembangunan bahan latihan serta sumber rujukan.
KKM kekal komited untuk mewujudkan persekitaran yang mesra ibu, daripada penjagaan primer di klinik kesihatan hinggalah ke fasiliti hospital dan peringkat komuniti. Ini bagi memastikan agar setiap ibu mendapat sokongan menyeluruh untuk menyusukan anak mereka dengan yakin, selamat dan selesa.
Penandatanganan MoU ini bukan sahaja memperkukuh landskap pemakanan dan kesihatan ibu serta anak di Malaysia, malah menjadi asas penting dalam memperkasa peranan negara sebagai peneraju serantau menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN pada tahun 2026, di mana inisiatif seperti ini boleh dijadikan contoh amalan terbaik untuk dikongsi bersama negara-negara serantau.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
24 APRIL 2025
SUMBER: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: TIMOTHY PALAVADRAM
Pegawai Perhubungan Awam
Seksyen Media Massa
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Kesihatan Malaysia
E-mel: timothy.palavadram@moh.gov.my
--BERNAMA